Masyarakat madani dan pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia / Mazlan Che Soh

Mazlan , Che Soh (2019) Masyarakat madani dan pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia / Mazlan Che Soh. PhD thesis, Universiti Malaya.

[img] PDF (The Candidate's Agreement)
Restricted to Repository staff only

Download (188Kb)
    [img] PDF (Thesis PhD)
    Download (2591Kb)

      Abstract

      Masalah dihadapi kerajaan Malaysia dalam sektor kesihatan adalah pelbagai, antaranya kos, akses, ekuiti dan kemampuan. Sebagai respon, inisiatif kearah melaksanakan pembaharuan sektor kesihatan telah digerakkan oleh pihak kerajaan. Pelbagai pendekatan dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan dan semakin ketara pada awal tahun 80an. Pembaharuan ini turut menyaksikan berlakunya perubahan daripada penggunaan model pentadbiran awam tradisional kepada model Pengurusan Awam Baru, yang cenderung pasaran. Namun begitu, pembaharuan ini mendapat reaksi dari pelbagai pihak, termasuk kumpulan masyarakat madani. Bantahan ini disebabkan beberapa faktor dan antaranya adalah soal penyertaan yang kurang memuaskan diantara pihak kerajaan dan masyarakat madani. Sekaligus, ini didapati tidak bertepatan dengan saranan demokrasi substantif dan Perkhidmatan Awam Baru yang menekankan penyertaan rakyat dan nilai awam. Berdasarkan senario inilah yang mendorong kepada kajian ini untuk dilaksanakan dengan mengambil Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) sebagai kajian kes. Pemilihan Gabungan adalah selari dengan objektif kajian yang ingin meneliti kumpulan masyarakat madani yang cenderung menonjolkan strategi secara konflik atau kaunter-hegemoni dalam mengetengahkan isu berkaitan kesihatan, berbanding pendekatan modal sosial dan berteraskan komuniti. Empat objektif kajian telah digubal. Pertama, menganalisis aktiviti bantahan GMPPK terhadap beberapa isu utama berkait dengan pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia. Objektif seterusnya adalah bagi mengetengahkan strategi-strategi yang dimanfaatkan GMPPK dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan pembaharuan sector kesihatan di Malaysia. Objektif kajian ketiga adalah bagi meneliti respon kerajaan terhadap isu pembaharuan sektor kesihatan di Malaysia. Objektif terakhir kajian adalah bagi menghuraikan mengapa kerajaan memberikan respon sedemikian rupa terhadap isu diperjuangkan GMPPK. Bagi memahami isu, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan rekabentuk kajian kes. Dalam kajian ini, tiga isu utama diperjuangkan Gabungan dipilih untuk dianalisis. Isu tersebut adalah komersialisasi dan penswastaan perkhidmatan kesihatan, pembiayaan kesihatan dan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP). Pengumpulan data dilakukan secara wawancara mendalam dikalangan pelaku terpilih serta analisa dokumen. Hasil kajian mendapati GMPPK lantang menentang kerajaan dalam isu-isu ini dan ianya dilakukan menerusi pelbagai pendekatan secara kaunter-hegemoni meliputi aktiviti seperti demontrasi, piket, memorandum, petisyen, kertas kerja, forum, seminar dan lain-lain. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu Gabungan didapati turut menggunakan pendekatan modal sosial dan berteraskan komuniti, namun agak minimum. Dalam konteks bantahan pula ianya disertakan dengan beberapa hujah. Berdasarkan analisis didapati asas kepada bantahan GMMPK didapati bersandarkan beberapa tema seperti akses, ekuiti, kemampuan serta kualiti perkhidmatan rawatan yang menjejaskan rakyat terutama dari golongan berpendapatan sederhana dan miskin. Walaupun begitu kerajaan didapati mempunyai beberapa jawapan terhadap bantahan dikemukakan GMPPK. Pendekatan konflik diambil GMPPK tidak menyerlahkan kejayaan signifikan dalam mempengaruhi kerajaan untuk mengubah dasar. Walaupun tidak berjaya sepenuhnya, ini tidaklah bermakna ianya tidak berkesan. Sebaliknya ianya memberikan implikasi tertentu. Misalnya, kerajaan didapati lebih berhati-hati dalam melaksanakan pembaharuan pembiayaaan kesihatan dan PPBP. Masyarakat pula didapati lebih sedar tentang isu ini dan begitu juga dengan kumpulan masyarakat madani lain. Walaupun begitu, sebagai kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa pendekatan konflik sebagaimana digunakan GMPPK tidak begitu sesuai untuk digunakan dalam sistem politik Malaysia yang tidak sepenuhnya totalitarian. Oleh itu adalah penting bagi kumpulan masyarakat madani untuk menggunakan kaedah yang sesuai bagi memastikan matlamat perjuangannya tercapai.

      Item Type: Thesis (PhD)
      Additional Information: Thesis (PhD) – Faculty of Economics & Administration, Universiti Malaya, 2019.
      Uncontrolled Keywords: Masyarakat madani; Pembaharuan sektor kesihatan; Perkhidmatan awam baru; Kaunter-hegemoni; Demokrasi substantif
      Subjects: H Social Sciences > H Social Sciences (General)
      Divisions: Faculty of Economics & Administration
      Depositing User: Mr Mohd Safri Tahir
      Date Deposited: 15 Feb 2022 07:52
      Last Modified: 15 Feb 2022 07:52
      URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/12832

      Actions (For repository staff only : Login required)

      View Item