Pengurusan bekalan air di Selangor, 1874-1920 / Mohamad Badrul Adzham Baharudin

Mohamad Badrul Adzham , Baharudin (2018) Pengurusan bekalan air di Selangor, 1874-1920 / Mohamad Badrul Adzham Baharudin. Masters thesis, Universiti Malaya.

[img] PDF (Thesis M.A.)
Download (1595Kb)

    Abstract

    Disertasi ini membincangkan pengurusan bekalan air di Selangor dalam tempoh 1874 sehingga tahun 1920. Kehadiran dan campurtangan British dalam pentadbiran negeri Selangor telah memperkenalkan pelbagai jabatan dan juga penguasa tempatan yang berfungsi untuk mentadbir hal ehwal pembandaran dan juga berperanan menguruskan kemudahan-kemudahan awam yang telah dibangunkan khasnya sistem bekalan air yang telah siap sepenuhnya pada tahun 1896. Oleh itu, persoalan disertasi ini ialah sejauh mana penglibatan pihak British dalam memajukan pengurusan pembekalan air di Selangor antara tahun 1874 hingga 1920 yang memungkinkan wujudnya keadaan yang ideal dan kondusif di negeri ini. Kaedah penyelidikan yang digunakan dalam disertasi ini meliputi pendekatan dan analisis kualitatif. Oleh itu, data-data maklumat adalah berasaskan sumber primer mencakupi Laporan Tahunan Negeri Selangor, Fail Pejabat Setiausaha Selangor, Fail Pejabat Tanah Jajahan, Fail Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British dan Enakmen-enakmen yang diperoleh dari Arkib Negara Kuala Lumpur. Pada peringkat awalnya, pihak British dilihat cuba menguruskan sumber air semulajadi seperti air perigi dan sungai supaya selamat digunakan. Namun sikap penduduk yang tidak mementingkan kebersihan telah menyebabkan tercetusnya wabak bawaan air yang memaksa pihak British mencari alternatif lain bagi memastikan kebersihan air terjamin. Oleh itu, pihak pentadbiran British telah merancang dan membangunkan sistem bekalan air bersih yang telah berjaya disiapkan pada tahun 1896 dengan kepakaran jurutera yang dibawa dari Eropah. Secara keseluruhannya kehadiran British dilihat telah membentuk sistem pembekalan air bersih yang lebih baik dan selamat untuk digunakan. Walaupun terdapat masalah-masalah yang timbul dalam menguruskan bekalan air bersih ini, ia dapat diatasi melalui aplikasi teknologi yang dibawa daripada Eropah. Namun begitu, pemindahan dan pengadaptasian teknologi yang dibawa daripada Eropah ini bukan lah sesuatu yang mudah. Ini disebabkan pihak jurutera terpaksa berdepan dengan masalah kerosakan peralatan yang memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan alat ganti kerana hampir kebanyakan peralatan untuk membangunkan sistem bekalan air pada ketika itu dibawa daripada Eropah. Selain itu, pengenalan meter air yang digunakan untuk menentukan kadar bayaran bil air juga turut menimbulkan polemik antara penduduk dan pihak penguasa iaitu pihak Sanitary Board yang telah diberikan tugas untuk mengutip bil air. Perkara ini berlaku disebabkan ada diantara penduduk dan pegawai British sendiri yang mahukan kadar bayaran sama rata (flat rate) digunakan. Masalah ini kemudiannya berjaya diselesaikan apabila undang-undang berkenaan bekalan air (Water Work Enactment) telah digubalkan dan dikuatkuasakan. Permintaan bekalan air dan penggunaannya yang semakin meningkat setiap tahun memerlukan pihak pentadbiran British memberi perhatian khusus terhadap kemudahan ini. Pengenalan dasar dan organisasi khas untuk menguruskan bekalan air kemudiannya dilihat menjadi faktor berkembangnya jaringan sistem bekalan air di setiap daerah dalam negeri Selangor. Hal ini seterusnya membolehkan penduduk di negeri ini memperoleh kemudahan bekalan air yang bersih secara berterusan.

    Item Type: Thesis (Masters)
    Additional Information: Dissertation (M.A.) – Faculty of Arts and Social Sciences, Universiti Malaya, 2018.
    Uncontrolled Keywords: Selangor; Bekalan air; Pengurusan; Water work enactment; Laporan Tahunan Negeri Selangor
    Subjects: H Social Sciences > H Social Sciences (General)
    H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor > HD28 Management. Industrial Management
    Divisions: Faculty of Arts and Social Sciences > Dept of History
    Depositing User: Mr Mohd Safri Tahir
    Date Deposited: 28 Jun 2023 02:04
    Last Modified: 28 Jun 2023 02:04
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/14552

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item