Noor Syazwani , Ishak (2019) Sejarah Samsu di Selangor, 1900-1941 / Noor Syazwani Ishak. Masters thesis, Universiti Malaya.
PDF (Thesis M.A.) Download (1835Kb) |
Abstract
Disertasi ini membincangkan mengenai samsu di Selangor dengan memberi penekanan terhadap aspek pembuatan, pengambilan dan kawalan antara tempoh 1900 hingga 1941. Di Selangor, samsu menjadi salah satu minuman alkohol yang diambil oleh buruh Cina dan India. Samsu menjadi salah satu minuman alkohol yang digemari dalam kalangan buruh kerana harganya yang agak murah berbanding minuman alkohol yang lain terutamanya pengambilan samsu haram yang dijual tanpa mendapat kelulusan daripada kerajaan. Pertambahan jumlah buruh di Selangor menyebabkan permintaan terhadap samsu juga bertambah dan penjualan samsu juga semakin berkembang. Secara tidak langsung keadaan ini telah membuka ruang kepada pembuatan dan penjualan samsu haram dan lama-kelamaan telah memberi pelbagai kesan sosial terhadap kehidupan buruh. Persoalan utama kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana seriusnya permasalahan pengambilan samsu dalam kalangan buruh terutamanya buruh India dan Cina di Selangor antara tahun 1900 sehingga 1941. Di samping itu, kajian ini juga mengenal pasti apakah kesan yang timbul daripada pengambilan samsu ini sama ada kepada individu mahupun masyarakat? Persoalan terakhir ialah apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi masalah pembuatan samsu haram mahupun pengambilan samsu yang berleluasa yang telah menimbulkan masalah sosial tersendiri di Selangor. Apakah bentuk-bentuk kawalan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa? Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengkaji sejarah pengenalan samsu di Tanah Melayu amnya dan di Selangor khasnya. Selain itu, objektif lain adalah untuk membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan kalangan buruh terutama buruh India mengambil samsu, meneliti pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan dan pengambilan samsu serta mengenal pasti kaedah-kaedah kawalan yang dilaksanakan dalam usaha pihak pemerintah membanteras masalah pengambilan samsu terutama samsu haram. Kajian ini menggunakan pendekatan analisis kualitatif dengan bersandarkan kepada data-data yang diperolehi daripada kajian arkib dan perpustakaan. Sumber-sumber pertama dalam bentuk Laporan Tahunan Selangor, Fail Setiausaha Kerajaan Negeri, Fail Pejabat Tanah Jajahan (CO 273 dan CO 717), Fail Pesuruhjaya Tinggi British serta dokumen rasmi yang diterbitkan oleh kerajaan telah dirujuk dalam kajian ini. Berdasarkan data-data yang diperolehi, kajian ini mendapati samsu telah memberi impak yang besar terhadap kehidupan buruh di Selangor. Wujudnya penjualan samsu di Selangor yang terdiri daripada tiga jenis iaitu samsu segar, samsu import dan samsu haram dan antara ketiga-tiga jenis samsu ini samsu haram menjadi minuman tegar buat masyarakat Selangor terutamanya dalam kalangan buruh. Terdapat hanya sebuah kilang berlesen yang menghasilkan samsu di Selangor dan selebihnya adalah samsu import yang diimport dari luar negeri mahupun luar negara. Pengambilan samsu jelas memberi impak terhadap kehidupan sosial buruh seperti mabuk, kematian, terlibat dengan jenayah, mencuri dan mengalami masalah rumah tangga. Melihat pelbagai masalah yang timbul dalam kehidupan buruh maka, British mengambil beberapa pendekatan dalam usaha untuk mengawal pengambilan samsu antaranya seperti mengawal tender dan lesen samsu, kawalan terhadap todi, mengurangkan yuran kilang, mengetatkan kawalan di gudang-gudang serta mendapatkan khidmat daripada pihak polis serta masyarakat tempatan. Usaha ini telah membuahkan hasil terutamanya dalam operasi membanteras pembuatan samsu haram dan secara tidak langsung membantu mengurangkan ketagihan terhadap pengambilan samsu dalam kalangan masyarakat Selangor. Kajian ini penting dalam memperihalkan tentang sejarah samsu memandangkan masih banyak lompang-lompang kajian berkaitan samsu yang tidak dikaji. Selain itu, kajian ini juga menjadi pelengkap kepada puzzle sejarah sosial Malaysia yang berkaitan dengan masalah dalam kalangan masyarakat kelas bawahan terutamanya kalangan buruh kasar.
Item Type: | Thesis (Masters) |
---|---|
Additional Information: | Dissertation (M.A.) – Faculty of Arts and Social Sciences, Universiti Malaya, 2019. |
Uncontrolled Keywords: | Samsu; Selangor; Tanah Melayu; Masalah sosial; Mabuk |
Subjects: | H Social Sciences > H Social Sciences (General) H Social Sciences > HN Social history and conditions. Social problems. Social reform |
Divisions: | Faculty of Arts and Social Sciences > Dept of History |
Depositing User: | Mr Mohd Safri Tahir |
Date Deposited: | 13 Jul 2023 06:19 |
Last Modified: | 13 Jul 2023 06:19 |
URI: | http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/14624 |
Actions (For repository staff only : Login required)
View Item |