Pembangunan modul kurikulum perkhidmatan kaunseling atas talian untuk pendidikan kerjaya sains kesihatan / Anizah Mohamed

Anizah , Mohamed (2019) Pembangunan modul kurikulum perkhidmatan kaunseling atas talian untuk pendidikan kerjaya sains kesihatan / Anizah Mohamed. PhD thesis, Universiti Malaya.

[img] PDF (The Candidate's Agreement)
Restricted to Repository staff only

Download (184Kb)
    [img] PDF (Thesis PhD)
    Download (2360Kb)

      Abstract

      Kajian ini bertujuan untuk membangunkan sebuah modul kurikulum perkhidmatan kaunseling atas talian untuk pendidikan kerjaya sains kesihatan. Metodologi Reka Bentuk dan Pembangunan yang dipelopori oleh Richey dan Klein (2014) telah digunakan dalam kajian ini yang melibatkan tiga fasa kajian, iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan, dan penilaian. Data fasa pertama dikumpul melalui soal selidik ke atas 150 orang pelajar bidang sains kesihatan di sebuah IPTS di Kuala Lumpur. Data ini dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) bagi bahagian pertama dan pengiraan skor secara manual bahagian kedua soal selidik. Analisis keperluan pada bahagian pertama soal selidik adalah berdasarkan kekerapan dan peratusan manakala pada bahagian kedua adalah berdasarkan skor tertinggi. Fasa kedua merangkumi penggunaan kaedah Fuzzy Delphi (FDM) yang melibatkan seramai 15 orang panel pakar dari tiga bidang iaitu kurikulum, kaunseling dan teknologi. Analisis data bagi fasa kedua ini berdasarkan respons pakar terhadap soal selidik menggunakan tujuh skala Likert linguistik. Nilai threshold ‘d’ dihitung untuk menentu sahkan konsensus pakar terhadap semua item yang terdapat dalam soal selidik. Seterusnya proses Fuzzy Evaluation dan proses Defuzzification telah dijalankan bagi mendapatkan kedudukan tertinggi. Rancangan pembelajaran bagi setiap tajuk telah melalui proses pemurnian oleh dua orang pakar kurikulum dan seorang pakar teknologi. Data fasa ketiga iaitu penilaian kebolehgunaan modul dikumpul melalui temu bual berstruktur dan soal selidik ke atas 40 orang pelajar yang telah mengikuti kursus pendidikan kerjaya sains kesihatan atas talian. Data temubual berstruktur dianalisis secara tematik dan data soal selidik dianalisis menggunakan perisian SPSS untuk melihat peratusan dan kekerapan. Dapatan fasa pertama pada bahagian pertama menunjukkan secara keseluruhannya pelajar mempunyai pengetahuan asas dalam penggunaan teknologi dan mempunyai persepsi yang positif terhadap penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran. Manakala dapatan pada bahagian kedua soal selidik yang diperolehi melalui Inventori Minat Kerjaya menunjukkan bahawa pelajar jurusan sains kesihatan mempunyai kecenderungan dalam minat kerjaya yang pelbagai. Ini menunjukkan, dapatan kajian dalam fasa analisis keperluan ini menyokong pembangunan modul kurikulum perkhidmatan kaunseling atas talian untuk pendidikan kerjaya sains kesihatan. Dapatan fasa kedua, reka bentuk kajian, menunjukkan bahawa panel pakar mencapai konsensus persetujuan bersama dengan nilai threshold d ≤0.2, melebihi 75% dari segi kesesuaian item-item dalam empat elemen yang terdapat dalam pembangunan modul kurikulum pendidikan kerjaya ini. Dapatan fasa kedua bagi pembangunan modul kurikulum pula menunjukkan beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan. Dapatan fasa ketiga iaitu penilaian kebolehgunaan modul menunjukkan bahawa modul ini secara keseluruhannya telah meningkatkan pengetahuan pelajar tentang aspek kerjaya, mampu memudahkan proses pembelajaran serta meningkatkan minat dan kecenderungan yang tinggi dalam penggunaan teknologi atas talian dalam proses pembelajaran mereka. Dapatan menunjukkan terdapat keperluan dalam membangunkan sebuah modul kurikulum pendidikan kerjaya. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan implikasi yang positif dalam kalangan pelajar. Justeru modul kurikulum perkhidmatan kaunseling atas talian untuk pendidikan kerjaya sains kesihatan dapat digunakan oleh kaunselor dan pendidik untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar tentang aspek kerjaya, dan seterusnya menyokong kurikulum pendidikan kerjaya sedia ada di Malaysia.

      Item Type: Thesis (PhD)
      Additional Information: Thesis (PhD) – Faculty of Education, Universiti Malaya, 2019.
      Uncontrolled Keywords: Sains kesihatan; Kaunseling; Pembangunan Rancangan Pembelajaran; Atas talian; Kerjaya
      Subjects: L Education > L Education (General)
      L Education > LB Theory and practice of education > LB2361 Curriculum
      Divisions: Faculty of Education > Dept of Curriculum & Instructional Technology
      Depositing User: Mr Mohd Safri Tahir
      Date Deposited: 27 Jul 2023 03:35
      Last Modified: 27 Jul 2023 03:35
      URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/14669

      Actions (For repository staff only : Login required)

      View Item