Normalisasi Arab-Israel: Pendirian negara negara Islam era Presiden Trump (2017-2021) / Ainul Asyraf Lokman

Ainul Asyraf , Lokman (2024) Normalisasi Arab-Israel: Pendirian negara negara Islam era Presiden Trump (2017-2021) / Ainul Asyraf Lokman. PhD thesis, Universiti Malaya.

[img] PDF (The Candidate's Agreement)
Restricted to Repository staff only

Download (425Kb)
    [img] PDF (Thesis PhD)
    Download (4008Kb)

      Abstract

      Dunia Islam dikejutkan dengan pengumuman negara-negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Maghribi dan Sudan yang secara rasmi menjalinkan hubungan dengan Israel. Jalinan ini dibuat melalui perjanjian normalisasi hubungan yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham. Perjanjian ini dirangka oleh pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 (2017-2021) yang turut menjadi pengantara dan saksi bagi perjanjian ini. Dengan termeterainya perjanjian damai ini, ia membawa petunjuk bahawa negara-negara Arab sedikit demi sedikit mula bersikap mesra dengan Israel. Bermula dengan negara Mesir dan Jordan pada era 90-an, Perjanjian Abraham kini menjadi kesinambungan dalam perjanjian normalisasi hubungan dengan Israel. Perjanjian damai ini tentunya mendapat pelbagai reaksi di peringkat dunia, sama ada yang menyokong, menentang atau bersikap sederhana. Namun, perhatian dunia lebih tertumpu kepada reaksi yang timbul dari negara-negara Islam yang lain. Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan untuk membahas pendirian yang diambil oleh negara-negara Islam terhadap isu normalisasi hubungan antara negara Arab dan Israel pada era pemerintahan Presiden Trump dan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi pendirian tersebut. Untuk merungkai persoalan kajian ini, tesis ini menggariskan tiga objektif utama iaitu: i); mengkaji sejarah konflik di Palestin dan kedinamikan hubungan di antara negara-negara Arab dan Israel; ii) menganalisis pendekatan Presiden Trump dalam proses normalisasi hubungan Arab-Israel; dan iii) menilai pendirian negara-negara Islam terpilih terhadap isu normalisasi hubungan Arab-Israel pada era pemerintahan Presiden Trump dan faktor yang mendorong pendirian tersebut. Kajian ini menggunakan sebuah kerangka konseptual yang terbentuk daripada gabungan teori Ummah-Kepimpinan dan teori Kompleks Keselamatan Serantau. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan kualitatif dan dijalankan menggunakan metode dokumentasi dan metode temu bual pakar bagi pengumpulan data, manakala data dianalisis menggunakan metode analisis kandungan, metode analisis tematik . Secara umumnya, konflik di antara Arab dan Israel mempunyai dinamiknya yang tersendiri terdiri daripada permusuhan dan peperangan; usaha damai melalui rundingan dan dialog; serta pemulihan hubungan dengan negara Israel melalui usaha normalisasi hubungan. Kuasa-kuasa besar dunia seperti AS dan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut terlibat dan menjadi aktor penting dalam konflik ini. Dapatan kajian yang dilakukan terhadap pendekatan yang diambil oleh negara-negara Islam lain seperti Oman, Malaysia dan Turkiye menunjukkan bahawa negara-negara Islam ini secara dasarnya menentang perjanjian normalisasi hubungan ini. Turkiye muncul sebagai negara paling kuat menentang Perjanjian Abraham, diikuti oleh Malaysia yang lebih pragmatik dan Oman yang optimistik. Hasil analisis lanjut mendapati negara-negara Islam ini mempunyai pendekatan berbeza kerana dipengaruhi empat faktor utama iaitu geopolitik, ekonomi, keselamatan dan sosial. Pendirian Turkiye dan Oman yang berada di Asia Barat dipengaruhi dengan mendalam oleh faktor geopolitik manakala Malaysia yang berada di rantau berlainan mengutamakan faktor sosial. Kesimpulannya, semangat Ummah tidak diberi penekanan yang sebaiknya oleh pemimpin negara-negara Islam menyebabkan tiada pendirian yang seragam dan tegas diberikan terhadap Perjanjian Abraham. Kesimpulannya, kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan identiti kelompok negara Islam sebagai suatu Ummah sudah terhakis dan digantikan dengan idea negara-bangsa (nation-state) yang mempunyai kepentingan negara tersendiri. Kajian ini boleh dimanfaatkan oleh pakar-pakar akademik dalam bidang berkaitan sebagai rujukan dan panduan untuk menjangka dasar luar yang bakal diambil oleh negara-negara Islam dalam hubungan dengan Israel pada masa akan datang.

      Item Type: Thesis (PhD)
      Additional Information: Thesis (PhD) – Academy of Islamic Studies, Universiti Malaya, 2024.
      Uncontrolled Keywords: Arab-Israel; normalisasi; Perjanjian Abraham; Trump; Negara-negara Islam
      Subjects: D History General and Old World > D History (General)
      J Political Science > JZ International relations
      Divisions: Academy of Islamic Studies
      Depositing User: Mr Mohd Safri Tahir
      Date Deposited: 18 Feb 2025 02:53
      Last Modified: 18 Feb 2025 02:53
      URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/15549

      Actions (For repository staff only : Login required)

      View Item