Wan Mohamed Radzi, Che Wan Jasimah (2009) Budaya pemakanan masyarakat Malaysia dari perspektif agama, polisi, sains dan teknologi dengan rujukan khusus kepada pengaruh Islam dalam penghasilan makanan / Che Wan Jasimah bt. Wan Mohamed Radzi. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian yang merentasi pelbagai disiplin ilmu ini bertujuan untuk mengkaji budaya pemakanan masyarakat Malaysia daripada aspek budaya, dasar, sains, teknologi dan agama Islam. Hubungan di antara budaya dan makanan, sains dan teknologi dan makanan, kesihatan dan makanan, serta agama dan makanan dikaji dengan lebih mendalam. Antara persoalan yang dikaji ialah apakah makna budaya pemakanan itu sebenarnya dan bagaimanakah rupa bentuk corak pemakanan masyarakat hari ini setelah ia mengalami gelombang arus budaya pemakanan India, Cina, Islam dan moden. Kajian ini dibahagi kepada enam bab. Perbincangan di dalam bab pertama meliputi pengenalan, pernyataan masalah, objektif kajian, metodologi kajian, limitasi kajian serta semakan literatur. Perbincangan di dalam bab kedua mengambilkira penyediaan makanan, nisbah ramuan, adab, hubungan makanan dengan kehidupan, kepelbagaian dalam penyediaan, makanan tradisi dan keistimewaannya, pengaruh budaya asing terhadap pengambilan makanan dan akhirnya corak pemakanan kontemporari masyarakat masa kini. Hasil kajian menunjukkan penerimaan makanan daripada pelbagai etnik berlaku di dalam generasi hari ini. Di dalam bab ketiga dasar pertanian turut dikaji bermula daripada dasar pertanian pada era pemerintahan British hinggalah kepada dasar pertanian selepas kemerdekaan. Penubuhan pelbagai agensi kerajaan dan wujudnya dasar pertanian negara yang pertama, kedua dan ketiga merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil makanan. Hal ini diperkukuhkan lagi melalui sekuriti makanan iaitu tahap sara diri bagi makanan terpilih yang semakin meningkat setiap tahun bermula dari tahun 2000. Bab keempat melihat pengaruh agama Islam dalam penghasilan makanan dengan mengkaji penubuhan dan peranan agensi-agensi yang terlibat dengan penghasilan makanan halal di Malaysia seperti Jawatankuasa Makanan Halal, Bahagian Hab halal JAKIM, Pusat Analisis Halal Malaysia, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Atase Hab halal JAKIM di Australia dan Halal Industry Development Corporation (HDC). Perkembangan yang berterusan badan-badan yang terlibat dengan makanan halal ini membuktikan produk halal hari ini kian mendapat tempat di kalangan pengusaha makanan dan pengguna. Penyeragaman logo halal di dalam negara membuktikan peranan agama di dalam penghasilan makanan adalah besar. Malah pengaruh agama kepada pengguna dan pengusaha turut diperkukuhkan lagi dengan adanya penggunaan logo halal oleh negara luar. Pertambahan bilangan bukan bumiputera yang memohon sijil halal menjadi bukti kukuh kepada faktor permohonan sijil halal yang kian bertambah setiap tahun. Di dalam bab kelima corak amalan pemakanan generasi muda di Malaysia hari ini turut dikaji. Responden yang berumur di bawah 30 tahun dipilih kerana mereka terdedah secara langsung dengan makanan tradisional dan makanan segera (moden) yang mula bertapak di Malaysia seawal 1960-an. Hasil kajian menunjukkan terdapat perubahan yang berlaku akibat daripada sejarah budaya pemakanan pelbagai kaum dan kemasukan makanan segera. Kajian perbandingan di antara pengambilan makanan tradisional yang berupa nasi dan lauk dan makanan segera seperti ayam goreng, pizza, kentang, donut, dan kebab menunjukkan generasi hari ini sudah menerima makanan moden di samping tidak meninggalkan makanan tradisi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa hubungan antara makan nasi dan kekerapan berkunjung ke restoran makanan segera adalah signifikan [X²(12, N=1420) =32.775, p< .05]. Kajian juga mendapati 58% responden memilih untuk pergi ke gerai yang menjual nasi dan lauk, dan 42% pula memilih untuk pergi ke restoran makanan segera sekiranya mereka makan bersama kawan atau meraikan tetamu. Keadaan ini membuktikan fenomena baru di dalam corak pengambilan makanan telah berlaku bagi generasi muda. Akhirnya di dalam bab 6, kesimpulan keseluruhan bab dilakukan.
Actions (For repository staff only : Login required)