Penggunaan teater forum dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral di sekolah menengah / Nadarajan a/l Thambu

Thambu, Nadarajan (2014) Penggunaan teater forum dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral di sekolah menengah / Nadarajan a/l Thambu. PhD thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF (Full Text)
Download (5Mb) | Preview

    Abstract

    Kajian ini dijalankan dalam reka bentuk kajian tindakan (action research) dengan menggunakan pendekatan kualitatif. Model kajian tindakan yang diperluaskan oleh Kemmis dan McTaggart (1988) digunakan untuk mengkaji keberkesanan teknik Teater Forum dalam mengembangkan aspek penaakulan moral, emosi moral dan amalan moral murid tingkatan empat. Reka bentuk kajian tindakan merupakan reka bentuk yang sesuai kerana teknik Teater Forum yang dijalankan dalam beberapa fasa gelungan dapat digunakan untuk mencapai matlamat pembelajaran Pendidikan Moral. Peserta kajian terdiri daripada murid-murid Pendidikan Moral kelas aliran sains. Satu kumpulan berfokus yang terdiri daripada enam orang murid dalam setiap kumpulan telah dipilih dari tiga buah sekolah untuk tujuan pengumpulan data. Mereka terdiri daripada murid lelaki dan perempuan kaum Cina dan India. Data dikumpul dengan menggunakan teknik temu bual kumpulan berfokus, pemerhatian, catatan jurnal dan rakaman video. Kaedah analisis tema yang diasaskan oleh Braun dan Clarke (2006) telah diaplikasikan ke atas data yang terkumpul. Teater Forum telah digunakan sebagai teknik pengajaran Pendidikan Moral. Murid-murid telah mengikuti empat langkah Teater Forum iaitu mengembangkan skrip, lakonan anti-model, sesi forum dan lakonan intervensi. Peserta telah menjadikan konflik atau isu-isu moral yang dihadapi dalam kehidupan harian sebagai bahan cerita untuk membina skrip. Skrip ini dipersembahkan dalam bentuk lakonan anti-model. Konflik moral yang ditimbulkan dalam lakonan anti-model telah dibincangkan dalam sesi forum untuk mencari jalan penyelesaian. Akhirnya para penonton/murid yang berperanan sebagai spect-actor telah menyelesaikan konflik moral yang dipaparkan melalui lakonan intervensi. Sebanyak tiga skrip telah digunakan dalam tiga gelung kajian tindakan untuk menjawab soalan-soalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan Teater Forum mampu mengembangkan aspek penaakulan, emosi dan amalan moral murid tingkatan empat. Proses penaakulan moral murid melibatkan perkembangan tiga unsur taakulan iaitu pemikiran moral yang munasabah, pertimbangan yang teliti dalam membuat keputusan dan justifikasi terhadap tindakan yang diambil. Selain itu, Teater Forum dapat mencetuskan emosi kendiri murid seperti perasaan malu, sedih, rasa menyesal, berani, takut, seronok, bangga, marah dan insaf di samping mewujudkan perasaan seperti belas kasihan, benci, kasih sayang dan perasaan empati terhadap orang lain. Dalam pada itu, antara amalan moral yang dikenal pasti ialah melaksanakan tugas, bekerja bersama-sama, bertolak ansur, berketerampilan menyelesaikan konflik moral, bersikap berani, menunjukkan sikap berdikari, saling menolong, menepati masa, berbudi pekerti mulia dan rajin berusaha. Dapatan kajian ini mempunyai implikasi yang penting kepada pedagogi pengajaran Pendidikan Moral. Selain merealisasikan matlamat program Pendidikan Moral negara kita kajian ini juga mempunyai implikasi terhadap teknik pengajaran guru, proses pembelajaran murid dan transformasi fungsi guru daripada “tukang cerita subjek” kepada penjana pengetahuan yang bermakna dalam realiti kehidupan murid.

    Item Type: Thesis (PhD)
    Additional Information: Thesis (Ph.D.) - Fakulti Pendidikan, Universiti of Malaya, 2014.
    Uncontrolled Keywords: Penggunaan teater forum dalam pengajaran dan pembelajaran
    Subjects: L Education > L Education (General)
    Divisions: Faculty of Education
    Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
    Date Deposited: 18 Feb 2015 10:49
    Last Modified: 18 Feb 2015 10:49
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/4708

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item