Che Othaman, Che Ismail (2010) Pemakaian maqasid al-shari'ah dalam produk Takaful Keluarga di Etiqa Takaful Berhad / Che Ismail bin Che Othaman. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Takaful adalah satu instrumen kewangan yang mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ia merupakan asas kepada insurans secara Islam dan kewujudannya adalah sebagai satu alternatif kepada insurans konvensional yang sedia ada dalam dunia perbankan dan kewangan konvensional masa kini. Al-Takaful yang berasaskan kepada al-mudarabah, at-tabarru‘ dan al-wakalah dilihat menepati tuntutan syarak dalam mendepani insurans konvensional yang mengandungi unsur gharar, riba dan perjudian. Kewujudan takaful telah menimbulkan pelbagai persoalan antaranya ialah sejauhmana pemakaian maqasid al-shari‘ah dalam semua produk yang ditawarkan sama ada takaful keluarga atau takaful am. Begitu juga adakah sistem takaful ini, mendukung prinsip-prinsip takaful Islam iaitu saling bekerjasama, saling menolong dan bertanggungjawab antara peserta-peserta serta syarikat pengendali takaful. Kajian ini bertujuan mengkaji sejauhmana produk Takaful Keluarga yang ditawarkan di Etiqa Takaful Berhad sebagai salah satu syarikat takaful terbesar di Malaysia menepati maqasid al-shari‘ah dari segi penjagaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta peserta yang terlibat. Metodologi yang digunapakai dalam kajian ini ialah metode perpustakaan, partisipasi, temubual, deduktif, induktif dan komparatif. Hasil kajian menunjukkan produk yang ditawarkan menepati konsep takaful Islam dari segi prinsip, objektif dan maslahahnya dalam memelihara keperluan-keperluan utama yang lima. Pemakaian maqasid al-shari‘ah dalam produk Takaful Keluarga di Etiqa Takaful Berhad dapat dilihat dengan jelas menerusi faedah sumbangan atau caruman peserta apabila tamat tempoh matang dan manfaat perlindungan sekiranya berlaku musibah terhadap peserta sama ada mati atau hilang upaya kerana kemalangan atau penyakit kritikal. Namun beberapa kekurangan dapat dilihat pada konsep perlindungan yang ditawarkan. Antaranya perlindungan hanya akan diberikan sekiranya peserta membayar sumbangan tanpa tunggakan bagi tempoh tertentu. Sewajarnya satu peruntukan dari akaun khas peserta disediakan bagi menjamin peserta yang tidak lengkap bayarannya supaya manfaat khairat kematian yang dijanjikan akan diberikan juga. Begitu juga sikap mesra pelanggan yang telah sedia ada digemblengkan lagi seperti makluman dan peringatan kepada peserta dipertingkatkan.
Actions (For repository staff only : Login required)