Mis, Mohammed Azlan (2011) Analisis pilihan bahasa sebagai lingua franca di Sarawak / Mohammed Azlan Mis. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini merupakan kajian pilihan bahasa yang berlandaskan teori sosiolinguistik, khususnya teori domain (Fishman 1972). Dengan itu, kajian ini memerihalkan pilihan bahasa melalui soal selidik dan temu bual. Soal selidik digunakan untuk mengumpul maklumat pilihan bahasa dan dijumlahkan mengikut peratusan dan diuji nilai signifikannya. Rakaman temu bual dilakukan untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai pilihan bahasa suku kaum Melayu, Iban, Cina dan Melanau serta untuk mendapatkan maklumat faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan bahasa tersebut. Pilihan bahasa yang utama itu adalah bahasa perhubungan utama atau lingua franca. Secara umumnya, lingua franca bermaksud bahasa komunikasi antara penutur yang bahasa pertama mereka berbeza antara satu sama lain (Samarin 1968, UNESCO (dlm. Samarin 1968) dan Wardhaugh 1998). Kaedah kajian yang digunakan berdasarkan analisis kekerapan (peratusan dan nilai signifikan) dan rakaman temu bual. Metodologi yang dipilih telah disesuaikan daripada Asmah (2001), Holmes (2001) dan juga Chua Yan Piaw (2006). Secara khususnya, kajian ini merupakan kajian tinjauan di lapangan dan kawasan kajiannya adalah di bandar Sarikei. Soalan-soalan yang disediakan dalam borang soal selidik berkaitan dengan pilihan bahasa yang dibahagikan mengikut enam domain, iaitu keluarga, persahabatan, pasar dan kedai, bank, hospital dan klinik serta sukan dan riadhah. Berdasarkan dapatan dari soal selidik dan temu bual yang telah dijalankan menunjukkan bahasa Iban merupakan pilihan bahasa yang paling utama jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa yang lain di bandar Sarikei. Bahasa Iban di bandar Sarikei mudah difahami apabila digunakan dan dituturkan oleh hampir semua penduduk pelbagai suku kaum. Ini menunjukkan bahawa pilihan bahasa Iban di bandar Sarikei ini merupakan bahasa perhubungan utama atau lingua franca dalam kalangan suku kaum Melayu, Iban dan Cina. Walau bagaimanapun, hasil analisis pilihan bahasa suku kaum Melanau berbeza dari hasil analisis suku kaum Melayu, Iban dan Cina kerana suku kaum Melanau tidak memilih bahasa Iban sebagai bahasa utama tetapi menggunakan dialek Melayu Sarawak. Hasil analisis pilihan bahasa juga telah menunjukkan sebahagian besar penduduk di bandar Sarikei mengetahui tiga atau empat bahasa suku kaum. Bahasa Iban merupakan pilihan utama domain di rumah, persahabatan, kedai dan pasar serta sukan dan riadhah oleh responden Melayu, Iban dan Cina. Dialek Melayu Sarawak pula banyak dipilih dalam domain di bank serta hospital dan klinik. Bahasa rojak Melayu-Iban pula adalah sebagai pilihan ketiga selepas bahasa Iban dan kedua selepas pilihan dialek Melayu Sarawak oleh suku kaum Melayu, Iban dan Cina. Bahasa rojak Melayu-Melanau hanya digunakan antara orang Melanau dan Melayu sekiranya mereka tidak berkomunikasi menggunakan dialek Melayu Sarawak ataupun bahasa Melanau.
Actions (For repository staff only : Login required)