Konsepsi matematik dalam kalangan pelajar Diploma Sains Aktuari / Roselah Osman

Osman, Roselah (2015) Konsepsi matematik dalam kalangan pelajar Diploma Sains Aktuari / Roselah Osman. PhD thesis, University of Malaya.

[img] PDF
Restricted to Repository staff only until 01 January 2018.

Download (3719Kb)
    [img] PDF (Full Text)
    Restricted to Repository staff only until 01 January 2018.

    Download (13Mb)

      Abstract

      Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti konsepsi tentang matematik yang dipunyai oleh pelajar Diploma Sains Aktuari. Secara khusus, kajian ini dijalankan untuk meneliti pengetahuan yang dimiliki oleh pelajar tentang makna matematik, makna pembelajaran matematik, kegunaan matematik dalam kehidupan seharian, dan proses pembelajaran matematik. Peserta kajian terdiri daripada lima orang pelajar Diploma Sains Aktuari yang dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan jenis variasi maksimum. Kajian yang berlandaskan perspektif bersepadu sejagat ini menggunakan reka bentuk kajian kes. Data dikumpul melalui teknik temu duga klinikal, manakala instrumen kajian pula membabitkan empat jenis protokol temu duga klinikal. Peserta kajian ditemu duga seorang demi seorang sebanyak lima kali dalam masa empat bulan. Setiap sesi temu duga dirakam secara audio dan video yang mengambil masa selama 40 minit hingga 60 minit. Sebagai tambahan, penganalisisan data melibatkan empat tahap, iaitu transkripsi rakaman temu duga kepada bentuk bertulis, pembentukan kajian kes yang membabitkan pemerihalan tingkah laku peserta kajian tentang aspek matematik, penganalisisan merentas peserta kajian, dan pengenalpastian konsepsi pelajar Diploma Sains Aktuari tentang matematik. Hasil kajian menunjukkan pelajar Diploma Sains Aktuari mentafsirkan makna matematik sebagai suatu bentuk pengetahuan yang mengandungi kandungan yang khusus, memiliki kebenaran mutlak secara a priori, berguna dalam aktiviti sosial manusia, memiliki elemen keindahan dalam budaya tertentu, dan berpunca dari Tuhan, tetapi diperoleh oleh manusia daripada alam sekitar dan sejarah kehidupan manusia. Gabungan persepsi deria dan pengalaman empirikal membabitkan alasan logik atau pemikiran rasional dianggap penting dalam pembentukan dan pengembangan pengetahuan matematik. Dalam aspek makna pembelajaran matematik pula, pelajar Diploma Sains Aktuari mentafsirkannya sebagai suatu bentuk aktiviti menerima maklumat yang konsisten daripada persekitaran bilik darjah yang distrukturkan dengan rapi. Dua perkara utama dalam pembelajaran matematik antara lain berkait dengan perkembangan manusia seperti ahli matematik atau guru matematik dan pelajar, manakala imej pembelajaran matematik yang dibentuk pula berpusat kepada pengalaman kognitif, afektif, dan fizikal pelajar. Selain itu, berhubung dengan aspek kegunaan matematik dalam kehidupan seharian, konsepsi pelajar Diploma Sains Aktuari banyak menggambarkan saling hubungan matematik dengan alam sekitar dan manusia, manakala dalam aspek proses pembelajaran matematik pula, mereka meletakkan manusia dan teknologi sebagai dua sumber autoriti yang membantu dalam pembelajaran matematik. Secara ringkasnya, pelajar Diploma Sains Aktuari menggunakan perspektif bersepadu sejagat dalam mentafsirkan matematik. Bagaimana pun, pemahaman mereka tentang konsep matematik, proses pembelajaran matematik, dan penggunaan idea matematik yang betul kebanyakannya tertumpu kepada tahap pemahaman yang bersifat luaran atau permukaan berbanding dalaman. Kata kunci: Konsepsi, Pelajar Diploma Sains Aktuari, Matematik, Perspektif Bersepadu Sejagat.

      Item Type: Thesis (PhD)
      Additional Information: Thesis (Ph.D.) -– Faculty of Education, University of Malaya, 2015
      Uncontrolled Keywords: Konsepsi; Pelajar Diploma Sains Aktuari; Matematik; Perspektif Bersepadu Sejagat
      Subjects: L Education > L Education (General)
      Q Science > QA Mathematics
      Divisions: Faculty of Education
      Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
      Date Deposited: 07 Oct 2015 13:11
      Last Modified: 07 Oct 2015 13:12
      URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5940

      Actions (For repository staff only : Login required)

      View Item