Lee, Kim Toh (2015) Perhubungan intersemiotik dari segi makna interpersonal dalam buku bergambar Bahasa Cina / Lee Kim Toh. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini merupakan satu analisis multimodal ke atas satu siri buku bergambar (Picturebook) bahasa Cina bertajuk 可爱的鼠小弟(Saudara Tikus yang Comel). Tujuan kajian ini adalah untuk menjalankan analisis intersemiotik makna interpersonal elemen tekstual dan visual yang terdapat dalam buku bergambar dengan mengenal pasti interaksi yang wujud antara ilustrator/pengarang, penonton/pembaca, dan partisipan (represented participants) yang terdapat dalam buku bergambar. Selain itu, jenis perhubungan intersemiotik yang terjalin antara elemen tekstual dan elemen visual juga dikaji untuk mengenal pasti elemen yang memainkan peranan penting dalam buku bergambar untuk menyampaikan cerita. Makna interpersonal elemen tekstual dan elemen visual dikaji berdasarkan kerangka teori Linguistik Sistemik Fungsian Halliday dan Matthiessen (2004) dan Sosial Semiotik Visual Kress dan van Leeuwen (1996, 2006). Kedua-dua teori tersebut telah dikenal pasti dapat melengkapi antara satu sama lain dalam analisis teks multimodal (Moya & Pintar, 2008; Moya, 2011a). Analisis jenis perhubungan intersemiotik yang terjalin antara elemen tekstual dan elemen visual ditentukan berdasarkan jenis perhubungan teks/imej yang disarankan oleh Nikolajeva dan Scott (2000, 2006) kerana kajian perhubungan teks/imej Nikolajeva dan Scott merupakan cara yang paling sistematik dalam penafsiran hubungan yang wujud antara teks dan imej dalam genre buku bergambar (Lewis, 2001a). Hasil kajian menunjukkan siri buku ini mempunyai ciri-ciri penggunakan ayat yang ringkas dan berulang-ulang, persembahan imej dengan lukisan hitam putih yang ringkas dalam penyampaian cerita. Majoriti kedua-dua elemen tekstual dan visual memain peranan dalam memberi maklumat melalui klausa MOOD deklaratif (65.38%) dan imej tanpa kontak mata (91.58%) tidak berinteraksi dengan pembaca tetapi menyampaikan maklumat. Kedua-dua elemen tekstual dan visual turut mengajak pembaca melibatkan diri dalam cerita melalui klausa MOOD interogatif (29.23%), melalui visual imej yang dipaparkan pada jarak sederhana (98.95%) dan pandangan imej pada kombinasi sudut hadapan dan sudut serong (40%). Majoriti klausa menunjukkan interaksi antara watak atau antara watak dengan pembaca adalah berpolariti positif (88.05%). Hanya modal adverba一定 (pasti) dan 也许 (mungkin) serta kata kerja modal 会 (akan) digunakan dalam elemen tekstual untuk menunjukkan watak menjangka tentang sesuatu yang akan berlaku. Analisis imej mendapati bahawa kesemua imej dipersembahkan pada pandangan paras mata pembaca menunjukkan pembaca mempunyai kuasa yang sama dengan watak-watak dalam cerita. Ini memberi kesan positif kepada perhubungan interpersonal antara imej dan pembaca. Hasil analisis juga menunjukkan kedua-dua elemen tekstual dan visual memain peranan yang sama penting dalam penceritaan buku bergambar kerana elemen tekstual dan imej saling melengkapi (71.43%) atau saling melanjutkan maklumat (27.47%) untuk membawa makna yang lengkap. Melalui kajian ini, diharap dapat memberi gambaran menyeluruh tentang cara pengarang dan illustrator buku bergambar menggunakan elemen tekstual dan elemen visual untuk berinteraksi dengan pembaca agar pembaca terutamanya kanak-kanak dengan mudahnya dapat menghayati maksud dan nilai-nilai yang hendak diketengahkan melalui visual dan tekstual yang ringkas dalam setiap buku bergambar tersebut. Dengan itu dicadangkan agar buku bergambar dapat digunakan sebagai bahan pengajaran dengan berkesan tanpa mengabaikan elemen tekstual mahupun elemen visual. Kata kunci: Buku bergambar, makna interpersonal, intersemiotik, Linguistik Sistemik Fungsian, Sosial Semiotik Visual
Actions (For repository staff only : Login required)