Kesan kefungsian keluarga asal, pembezaan kendiri dan sikap terhadap peranan gender ke atas kualiti perkahwinan / Norfaezah Md Khalid

Norfaezah, Md Khalid (2016) Kesan kefungsian keluarga asal, pembezaan kendiri dan sikap terhadap peranan gender ke atas kualiti perkahwinan / Norfaezah Md Khalid. PhD thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF
Download (30Kb) | Preview
    [img]
    Preview
    PDF (Full Text)
    Download (2716Kb) | Preview

      Abstract

      Dasar Keluarga Negara bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan institusi kekeluargaan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Hubungan perkahwinan yang berkualiti menjadi asas pembentukan keluarga yang sejahtera. Bagaimanapun, statistik menunjukkan jumlah perceraian semakin meningkat setiap tahun. Keadaaan ini memberi kebimbangan kepada banyak pihak dan menuntut lebih banyak perhatian dari pelbagai aspek dalam usaha untuk meningkatkan lagi tahap kualiti perkahwinan. Justeru, kajian ini memberi fokus kepada tiga faktor utama iaitu faktor keluarga asal, faktor diri dan faktor konteks, melalui perspektif bidang kaunseling dan psikoterapi. Kajian ini dijalankan melalui rekabentuk kajian perbandingan penyebab dengan penggunaan borang kaji selidik ke atas responden terpilih di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seramai 478 responden yang dipilih melalui kaedah persampelan kluster terlibat dalam kajian ini. Objektif utama kajian adalah untuk menguji padanan model cadangan yang melibatkan satu siri perhubungan di antara kualiti perkahwinan, kefungsian keluarga asal, sikap terhadap peranan gender dan pembezaan kendiri. Kajian ini juga menguji kesan langsung, kesan tidak langsung, dan jumlah kesan pemboleh ubah kefungsian keluarga asal, sikap terhadap peranan gender dan pembezaan kendiri ke atas kualiti perkahwinan. Ketiga, kajian ini menguji peranan faktor umur, tempoh perkahwinan dan tahap akademik sebagai moderator bagi model cadangan. Pendekatan model persamaan berstruktur digunakan untuk menganalisa data kajian. Hasil analisis ke atas model pengukuran dan model struktural mendapati bahawa model yang dicadangkan sepadan dengan data secara memuaskan. iv Berdasarkan dapatan, kefungsian keluarga asal menunjukkan kesan langsung yang terbesar dan signifikan (.58, p < .05), sikap terhadap peranan gender mempunyai kesan langsung yang kecil dan signifikan (.181, p < .05), pembezaan kendiri mempunyai kesan langsung yang sangat kecil dan tidak signifikan (-.052, p > .05) ke atas kualiti perkahwinan. Kefungsian keluarga asal mempunyai kesan tidak langsung (-.021) yang tidak signifikan, begitu juga dengan sikap terhadap peranan gender yang mempunyai kesan tidak langsung (.005) yang tidak signifikan. Analisa pelbagai kumpulan dijalankan untuk menguji kesan moderasi umur, tahap akademik dan tempoh perkahwinan. Dapatan menunjukkan padanan model yang diterima untuk ketiga-tiga model. Umur dan tempoh perkahwinan adalah moderator dalam model yang dicadangkan. Berdasarkan hasil kajian, pengalaman individu dalam keluarga asal amat penting dalam membentuk identiti seseorang. Persekitaran keluarga yang berfungsi dan tidak berfungsi menentukan bagaimana individu berhubung dengan orang lain. Pengalaman ini juga menentukan keupayaan individu untuk membina pembezaan kendiri. Bagi individu yang mempunyai sikap yang seimbang dalam perkahwinan, dapat membentuk hubungan perkahwinan yang berkualiti. Kesemua faktor yang menyumbang kepada kualiti perkahwinan perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkepentingan. Hasil kajian ini juga membawa implikasi kepada pengamal kaunseling di negara ini. Kajian ini diharapkan dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan serta membantu memperkasakan institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

      Item Type: Thesis (PhD)
      Additional Information: Thesis (Ph.D.) – Faculty of Education, University of Malaya, 2016.
      Uncontrolled Keywords: Marriage quality; Gender
      Subjects: H Social Sciences > HQ The family. Marriage. Woman
      Divisions: Faculty of Education
      Depositing User: Miss Dashini Harikrishnan
      Date Deposited: 13 Jan 2017 12:20
      Last Modified: 13 Jan 2017 12:20
      URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/6300

      Actions (For repository staff only : Login required)

      View Item