Kamariah, Sujak (2016) Penerapan metakognisi dalam kalangan pelajar tingkatan empat bagi penyelesaian masalah stoikiometri / Kamariah Sujak. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini mendalami kebolehan murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah menyelesaikan masalah Stoikiometri dalam aspek pengetahuan metakognisi, regulasi metakognisi dan tahap kefahaman murid dalam perwakilan makroskopik, mikroskopik dan simbol selepas penerapan kemahiran metakognisi. Seramai sembilan murid Tingkatan empat berumur enam belas tahun disebuah sekolah menengah terlibat dalam kajian ini. Data dikutip melalui sesi berfikir secara verbal, temu bual dan dokumen hasil kerja murid. Dapatan kajian ini mendapati murid berpencapaian tinggi menunjukkan pengetahuan metakognisi yang tinggi tentang pengetahuan deklaratif, dan prosedur, sementara pengetahuan kondisional yang rendah. Murid berpencapaian sederhana menunjukkan pengetahuan deklaratif dan prosedur yang agak tinggi tetapi pengetahuan kondisional yang rendah. Murid berpencapaian rendah pula menunjukkan pengetahuan deklaratif dan pengetahuan prosedur yang sederhana dan pengetahuan kondisional yang rendah. Dari aspek regulasi metakognisi murid berpencapaian tinggi melakukan perancangan dan menganalisis yang tinggi dalam menyelesaikan masalah Stoikiometri. Sementara murid berpencapaian sederhana, melakukan regulasi metakognisi dengan perancangan yang sederhana. Murid berpencapaian rendah, melakukan perancangan bagi soalan yang mudah dan kebanyakan murid berpencapaian rendah tidak dapat menyelesaikan masalah Stoikiometri melibatkan persamaan seimbang. Walaupun demikian, murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah tidak menunjukkan pemantauan dan penilaian. Dari segi tahap kefahaman penyelesaian masalah Stoikiometri berkaitan persamaan kimia seimbang dari aspek perwakilan makroskopik, mikroskopik dan simbol pada akhir penggunaan aktiviti penerapan kemahiran metakognisi didapati murid iv berpencapaian tinggi dapat memahami dan menyelesaikan semua masalah Stoikiometri. Bagi murid berpencapaian sederhana pula, sebahagian mereka boleh memahami aspek perwakilan makroskopoik, mikroskopik dan simbol. Mereka boleh menyelesaikan masalah Stoikiometri berkaitan persamaan kimia seimbang. Bagi murid berpencapaian rendah, mereka boleh memahami masalah Stoikiometri yang mudah. Bagaimana pun mereka tidak boleh memahami nisbah mol dalam persamaan kimia seimbang. Maka, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah Stoikiometri melibatkan persamaan kimia seimbang, Bagi aspek pemindahan pengetahuan metakognisi dari masalah Stoikiometri kepada bahan tindak balas kimia terhad didapati murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah dapat memindahkan pengetahuan deklaratif dan pengetahuan prosedur dan tidak pengetahuan kondisional. Sementara dari aspek regulasi metakognisi murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah menunjukkan perancangan dan menganalisis tetapi tidak memantau dan menilai ketika menyelesaikan masalah bahan kimia terhad. Implikasi kajian dan cadangan kajian lanjutan juga dibincangkan.
Actions (For repository staff only : Login required)