Elemen saintifik dalam Al-Qur’an: Analisis terhadap tafsir Al-Sha‘Rawi karangan Muhammad Mutawalli Al-Sha‘Rawi / Selamat Bin Amir

Amir, Selamat (2016) Elemen saintifik dalam Al-Qur’an: Analisis terhadap tafsir Al-Sha‘Rawi karangan Muhammad Mutawalli Al-Sha‘Rawi / Selamat Bin Amir. PhD thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF (Full Text)
Download (11Mb) | Preview

    Abstract

    Shaykh Muhammad Mutawalli Al-Sha‘rawi (1911-1998) adalah merupakan salah seorang cendekiawan Islam prolifik yang banyak membahaskan mengenai isu semasa dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam. Melihat kepada perkembangan intelektual dan disiplin ilmu semasa, fenomena implementasi pemikiran saintifik dalam pentafsiran al-Qur’an semakin mendapat perhatian pelbagai pihak dengan tumpuan perbincangan terarah kepada memahami al-Qur’an berdasarkan fakta dan penemuan saintifik. Walau bagaimanapun, situasi ketara pada hari ini memperlihatkan kelemahan umat Islam memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi dalam memahami ayat dan isharat teks al-Qur’an, serta dalam mendepani cabaran kekinian. Justeru, refleksi daripada senario tersebut, kajian ini bertujuan menganalisis konsep elemen saintifik kontemporari yang terdapat di dalam al-Qur’an menerusi analisis ayat-ayat terpilih berdasarkan pentafsiran al-Sha‘rawi melalui karya agungnya Tafsir Al-Sha‘rawi. Kajian ini berorientasikan analisis kandungan (content analysis) dengan menerapkan metode induktif dan metode deduktif bagi proses menganalisis data. Dalam mengidentifikasi elemen saintifik dalam Tafsir Al-Sha‘rawi, tumpuan analisis difokuskan kepada lapan ayat terpilih. Hasil kajian mendapati, konsep elemen saintifik dalam al-Qur’an merangkumi tiga bahagian utama iaitu Saintifik Ketuhanan (Divine Science), Saintifik Sosial (Social Science) dan Saintifik Tabii (Natural Science). Dapatan lain menunjukkan, al-Sha‘rawi konsisten menerapkan metode al-‘Ilmi al-Naqli al-Ijtima‘i dalam pentafsiran ayat-ayat saintifik. Selain itu, hasil analisis ayat dalam Saintifik Ketuhanan menunjukkan penemuan baru mengenai hikmah dan i‘jaz dalam aspek leksikal dan perkaitannya pada konteks implikasi berdasarkan korelasi saintifik iv khusus pada ayat 16 Surah al-‘Alaq, yang menjelaskan hubungkait perintah Allah SWT dengan manfaat kebaikan dan kesan keburukan (akibat melakukan pendustaan). Manakala frasa zikr Allah pada ayat 28 Surah al-Ra‘d mendedahkan elemen ketaatan yang diimplementasikan menerusi pelbagai konsep mampu membentuk kecemerlangan emosional dan intelektual. Selain itu, penemuan terhadap kemukjizatan susunan makna teks pada kalimah al-Sam‘a dan al-Absar dalam Surah al-Sajadah ayat 9 menyerlahkan hubungkait terhadap fungsional kejadian manusia. Manakala dapatan dalam Saintifik Sosial membawa kepada penemuan terhadap aspek penjenamaan semula konsep modal sosial berteraskan pemahaman gagasan ‘ikhwah’ dalam Surah al-Hujurat ayat 10 dan konsep keadilan sosial dalam bentuk jaminan dan perlindungan menerusi perincian frasa ‘al-‘Adl’ dalam Surah al-Ma’idah ayat 8. Selain itu, hasil penelitian ayat dalam Saintifik Tabii mendedahkan penemuan terhadap ketinggian nilai tekstual kalimah al-Qur’an telah membawa kepada petunjuk pada aspek fungsionalnya. Misalnya, frasa mawaqi‘ al-Nujum dalam Surah al-Waqi‘ah ayat 75 telah memberi petunjuk kepada keluasan fenomena ilmu astronomi. Begitu juga pada lafaz al-Jibal Awtada dalam Surah al-Naba’ ayat 7 telah memperincikan pengkajian ilmu geologi. Manakala penelitian kalimah ‘pemisah dua lautan’ pada Surah al-Rahman ayat 20 menunjukkan wujudnya pelbagai fenomena dalam ilmu oseanografi. Penemuan-penemuan ini bukan sekadar menyerlahkan kemukjizatan al-Qur’an, malah secara tidak langsung memberikan nilai tambah pada penghuraian dan perluasan makna kalimah al-Qur’an.

    Item Type: Thesis (PhD)
    Additional Information: Thesis (Ph.D.) – Academy of Islamic Studies, University of Malaya, 2016.
    Uncontrolled Keywords: Al Quran and hadith ; Interpretation ; Criticism
    Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc
    Q Science > Q Science (General)
    Divisions: Academy of Islamic Studies
    Depositing User: Miss Dashini Harikrishnan
    Date Deposited: 03 Aug 2016 17:34
    Last Modified: 03 Aug 2016 17:34
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/6651

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item