Penghasilan imej dalam pembelajaran seni visual: Analisis terhadap tahap kreativiti kanak-kanak tabika perpaduan di daerah Kuantan, Pahang / Sharulnizam Ramli

Sharulnizam, Ramli (2016) Penghasilan imej dalam pembelajaran seni visual: Analisis terhadap tahap kreativiti kanak-kanak tabika perpaduan di daerah Kuantan, Pahang / Sharulnizam Ramli. PhD thesis, University of Malaya.

[img] PDF (Thesis PhD - embargo for another 2 years-requested by author-2018)
Restricted to Repository staff only until 31 December 2020.

Download (6Mb)

    Abstract

    Penyelidikan kaedah campuran reka bentuk eksploratori ini bertujuan untuk menganalisis tahap kreativiti kanak-kanak tabika perpaduan berdasarkan penghasilan imej yang dihasilkan menerusi modul bertema selaras dengan kandungan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang dilancarkan pada tahun 2010. Kurikulum ini diolah berdasarkan daripada Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1976. Satu kajian rintis telah dilakukan di sebuah tabika perpaduan di daerah Kuantan sebelum penyelidikan kaedah campuran reka bentuk eksploratori ini dijalankan. Bertitik tolak daripada itu, dapatan daripada permasalahan penyelidikan telah diteliti dengan mendalam. Antaranya adalah kekerapan guru membantu ketika proses penghasilan imej yang dilakukan oleh kanak-kanak. Ini tidak banyak membantu dalam penjanaan kreativiti kanak-kanak. Pemerhatian berstruktur merupakan instrumen utama bagi penyelidikan kaedah campuran reka bentuk eksploratori ini. Proses mengumpul data-data telah dibantu menerusi rakaman foto dan video ke atas penghasilan imej yang dilakukan oleh kanak-kanak di lima buah tabika yang dipilih secara rawak di daerah Kuantan. Selain daripada rakaman foto dan video direkodkan oleh seorang pembantu penyelidik, nota lapangan dan senarai semak telah digunakan oleh penyelidik untuk memahami, mengenal pasti dan menganalisis data-data bagi proses kreativiti serta imej akhir kreatif yang dihasilkan oleh kanak-kanak. Seorang pakar visual turut dilantik bagi menganalisis 1612 imej akhir yang dihasilkan oleh kanak-kanak tabika. Kekerapan bantuan daripada guru tabika bagi menyiapkan tugasan ketika penghasilan imej dilakukan oleh kanak-kanak sepanjang enam bulan pembelajaran dilihat bersifat mengongkong dan berupaya menyekat pertumbuhan kreativiti kanak-kanak. Ini berlawanan dengan objektif penjanaan kreativiti seperti yang digariskan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Di samping itu, kekerapan ketidakhadiran kanak-kanak ke tabika juga dilihat antara faktor yang menghalang penjanaan kreativiti dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pembelajaran seni visual menerusi modul bertema merupakan antara platform yang dipraktikkan bagi menjana kreativiti kanak-kanak di tabika perpaduan sejak sekian lama. Ini digariskan menerusi Tunjang Fizikal, Estetika dan Kreativiti. Berdasarkan objektif Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang menitikberatkan kepada penjanaan kreativiti dalam pembelajaran seni sejak daripada awal lagi maka adalah penting menerusi penyelidikan ini bagi penyelidik untuk memahami, mengenal pasti dan menganalisis tahap kreativiti kanak-kanak tabika perpaduan. Cadangan-cadangan bagi penambaikan pengajaran dan pembelajaran ke atas penjanaan kreativiti kanak-kanak di peringkat prasekolah adalah hasil daripada kupasan berdasarkan data-data yang telah dikumpul di lapangan kajian selama enam bulan. Kesimpulannya, guru tabika memainkan peranan yang penting dalam menjana kreativiti awal kanak-kanak di peringkat prasekolah. Pembelajaran seni visual merupakan antara medium yang berupaya memacu pertumbuhan pemikiran kreatif kanak-kanak menerusi modul bertema yang dibentuk. Oleh demikian, guru harus memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak tabika ketika penghasilan imej dilakukan di dalam bilik darjah atau sebaliknya, peranan guru bakal bertukar kepada menyekat pertumbuhan dan membunuh kreativiti kanak-kanak.

    Item Type: Thesis (PhD)
    Additional Information: Thesis (PhD) – Cultural Centre, University of Malaya, 2016.
    Uncontrolled Keywords: Kreativiti kanak-kanak tabika; Kurikulum pra-sekolah; Modul penghasilan imej; Pembelajaran seni visual
    Subjects: L Education > L Education (General)
    L Education > LB Theory and practice of education
    Divisions: Cultural Centre
    Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
    Date Deposited: 03 Aug 2016 17:26
    Last Modified: 20 Sep 2019 02:14
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/6652

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item