Nik Mustafa, Mat Ail (2016) Model kepimpinan Murabbi Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Malaysia / Nik Mustafa Mat Ail. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini mengetengahkan pembentukan model Kepimpinan Murabbi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Malaysia. Pendekatan kualitatif digunakan dalam kajian ini untuk tujuan triangulasi. Penggunaan teknik Delphi tiga pusingan digunakan dalam kajian ini yang melibatkan fasa analisis keperluan, fasa reka bentuk dan fasa penilaian. Fasa analisis keperluan, mengutip data melalui temubual separa berstruktur yang melibatkan seramai 24 orang peserta kajian yang terlibat secara langsung dalam senario pendidikan semasa. Fasa ini dilakukan bagi menjawab tiga soalan kajian yang dikemukakan. Data dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis kualitatif. Bagi fasa reka bentuk, data dikutip dengan menggunakan teknik Delphi tiga pusingan bagi menjawab tiga soalan kajian. Bagi pusingan pertama, seramai 15 orang pakar telah ditemubual. Dapatan temu bual dianalisis dengan menggunakan kaedah kualitatif melibatkan proses mereduksi, mengkod dan mengkategorikan data. Kajian berbentuk tinjauan pula adalah menggunakan pendekatan kuantitatif dan soal selidik merupakan instrumen utama kajian. Item yang dikenal pasti digunakan bagi membentuk soal selidik untuk sesi pusingan kedua dan ketiga. Data yang diperolehi pada pusingan kedua dan ketiga dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu mod, median dan Julat Antara Kuartil (JAK). Kutipan data bagi fasa penilaian melibatkan kajian tinjauan terhadap 570 orang sampel kajian dari 11 buah negeri yang melibatkan MRSM dan sekolah menengah. Dapatan kajian menjawab tiga soalan kajian dan data pada fasa ini dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 20.0 dan Amos versi 16.0 yang melibatkan kaedah statistik deskriptif iaitu min dan sisihan piawai serta kaedah statistik deskriptif iaitu min, peratus dan Structural Equation Modeling (SEM). Dapatan fasa analisis keperluan menunjukkan semua peserta kajian bersetuju dengan keperluan pembinaan Model Kepimpinan Murabbi. Dapatan fasa reka bentuk juga mencapai kesepakatan 15 orang pakar terhadap empat dimensi dan 13 ciri utama Model iv Kepimpinan Murabbi. Empat dimensi tersebut ialah Tauhid, Ibadah, Syariat dan Akhlak. Fasa penilaian menunjukkan peratusan persetujuan peserta kajian adalah tinggi dan berada pada skala ‘setuju’ dan ‘sangat setuju’ adalah tinggi dan nilai min ≥ 4.00. Model Kepimpinan Murabbi yang dibentuk adalah sesuai dan signifikan berasaskan kepada model persamaan struktural dengan data kajian (CSq=1413.99, P=0.00, GFI=0.84, AGFI=0.82, CFI=0.92, RMSEA=0.07, CMIN/DF=3.81 dan TLI=0.91). Kajian ini mencadangkan Model Kepimpinan Murabbi yang dibina dapat menjadi panduan kepada pembentukan guru yang unggul selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Actions (For repository staff only : Login required)