Mohd Zulkifli, Noor Hidayah (2013) Penentuan waktu solat Isyak dan Subuh dalam kapal terbang menggunakan Sky Quality Meter-USB (SQM-LU) : kajian bagi carta perjalanan kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) / Noor Hidayah binti Mohd Zulkifli. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Bagi umat Islam khasnya di Malaysia, waktu solat diketahui dengan hanya melihat takwim solat atau merujuk di laman web tertentu seperti JAKIM atau Jabatan-jabatan Mufti Negeri. Selain itu terdapat juga banyak perisian yang dibina untuk mengira waktu solat. Namun begitu, bagi musafir penerbangan keadaannya agak berbeza kerana tidak terdapat takwim waktu solat yang dapat dirujuk dan ini menyukarkan mereka untuk mengetahui waktu solat ketika berada dalam kapal terbang. Objektif kajian ini ialah untuk mengkaji kaedah yang sesuai untuk menentukan waktu solat dalam kapal terbang. Namun begitu, pengkaji memfokuskan kajian terhadap kaedah penentuan waktu solat Isyak dan Subuh sahaja. Pengkaji mengaplikasikan kaedah saintifik untuk mengetahui waktu hilang mega merah (awal waktu Isyak) dan terbitnya fajar sadiq (awal waktu Subuh) iaitu dengan menggunakan alat pengukur kecerahan langit iaitu Sky Quality Meter Lens-USB (SQM-LU). Graf kemudiannya diplot dan waktu Isyak serta Subuh diketahui melalui graf tersebut. Waktu Isyak adalah apabila nilai bacaan Magnitude Per Square Arc Second (MPSAS) menaik dan mula mendatar. Waktu Subuh pula bermula apabila nilai bacaan MPSAS mula mendatar sebelum menurun. Setelah waktu solat diketahui, nilai jarak zenith matahari bagi Isyak dan Subuh untuk setiap penerbangan dikira. Hasil kajian, menunjukkan jarak zenit matahari bagi bermulanya waktu Isyak ialah antara 106° hingga 108°. Jarak zenit matahari bagi awal waktu Subuh pula ialah antara 107° hingga 110°.
Actions (For repository staff only : Login required)