Md Zin, Norsyida (2014) Kaedah bacaan Al-Quran teknik Iqra' dan Al-Baghdadi di Kuala Lumpur : kajian perbandingan / Norsyida binti Md Zin. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini merupakan kajian berbentuk perbandingan di antara dua teknik belajar membaca al-Quran iaitu teknik Iqra’ dan teknik Al-Baghdadi. Seramai 60 orang responden dari dua lokasi pengajian yang berbeza dipilih secara rawak mudah dalam kajian ini iaitu dari SK Segambut, Kuala Lumpur dan Al-Baghdadi Training Centre, Kuala Lumpur. Kajian ini bertujuan untuk melihat perbandingan pencapaian pelajar di antara dua teknik belajar asas al-Quran khususnya terhadap teknik Iqra’ dan teknik Al-Baghdadi. Kajian ini juga bertujuan melihat teknik manakah yang lebih berkesan untuk diaplikasikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran asas bacaan al-Quran terhadap golongan kanak-kanak. Disertasi ini dimulakan dengan sejarah pengajian al-Quran di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan Tanah Melayu sehinggalah kemunculan dan kemasukan teknik-teknik bacaan al-Quran di Malaysia seperti teknik Baghdadiyyah, Qiraati, Hattawiyyah, al-Barqy, Iqra’, Al-Baghdadi dan al-Matien. Seterusnya, penulis memperkenalkan sejarah dan latarbelakang lokasi kajian bagi kajian ini. Penulis turut memperkenalkan serta menghuraikan secara terperinci mengenai kaedah bacaan al-Quran teknik Iqra’ dan Al-Baghdadi terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi menganalisa perbandingan di antara dua teknik bacaan al-Quran yang dikaji, penulis menggunakan soal selidik dan ujian bacaan al-Quran sebagai alat ukuran. Kajian perbandingan yang dilakukan adalah untuk mengenalpasti tahap keupayaan responden menyebut huruf Hijāiyyah dan tanda baris, membaca perkataan atau kalimah, membaca ayat al-Quran dan membaca ayat beserta hukum tajwid. Data-data yang diperolehi dikumpulkan dan dianalisis menggunakan Statistical Package for The Social Sciences (SPSS) versi 17.0 menerusi metode statistik deskriptif yang merangkumi kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai dan ujian –t. Kajian ini menolak hipotesis nul yang mengandaikan tidak terdapat perbezaan yang signifikan pada aras keertian p<0.05 di antara pelajar teknik Iqra’ dan pelajar teknik Al-Baghdadi. Dapatan kajian menunjukkan teknik Al-Baghdadi lebih praktikal untuk diaplikasi kepada generasi kanak-kanak hari ini berbanding teknik Iqra’ dalam usaha untuk memahirkan golongan kanak-kanak membaca al-Quran dengan baik dalam jangka masa yang singkat.
Actions (For repository staff only : Login required)