Ibrahim, Abdul Aziz (2014) Penguasaan haqiqah dan majaz dalam kalangan pelajar peringkat menengah / Abdul Aziz bin Ibrahim. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian yang dijalankan dalam desertasi ini memfokuskan kepada topik haqiqah dan majaz beserta sub topik majaz mursal dan isti„arah yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Arab peringkat menengah. Tajuk yang dipilih “Penguasaan Haqiqah Dan Majaz Dalam Kalangan Pelajar Peringkat Menengah”. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti persepsi pelajar dalam mempelajari topik haqiqah dan majaz, menjelaskan tahap penguasaan pelajar mengenai topik haqiqah dan majaz serta merumuskan kekangan yang dihadapi oleh pelajar dalam menguasai topik tersebut. Instrumen pengumpulan data yang digunakan ialah soal-selidik yang melibatkan pelajar dan guru, ujian khas yang melibatkan pelajar dan temu bual tidak berstruktur yang melibatkan pelajar dan guru. Di samping itu, kajian kepustakaan dijalankan bagi pengumpulan data-data yang berkaitan teori kajian. Sampel yang mewakili populasi dipilih dalam kalangan pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru yang terbabit dalam pengajaran subjek Bahasa Arab di peringkat menengah. Sejumlah 100 orang pelajar dan lima orang guru telah dijadikan sampel kajian. Manakala seramai sepuluh orang pelajar dan guru telah ditemu bual. Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi, penulis mendapati bahawa tahap penguasaan pelajar peringkat menengah berdasarkan aspek persepsi keseluruhannya berada pada tahap yang sederhana dan aspek penguasaan topik keseluruhannya berada pada tahap yang sederhana rendah. Manakala dapatan aspek kekangan dalam menguasai topik keseluruhannya juga berada pada tahap yang sederhana. Ini menunjukkan tahap penguasaan topik haqiqah dan majaz beserta sub topik majaz mursal dan isti„arah dalam kalangan pelajar peringkat menengah belum memuaskan, sekaligus memperlihatkan mereka menghadapi kekangan dalam menguasai topik tersebut. Dapatan juga menunjukkan topik haqiqah dan majaz paling senang dikuasai berada pada tahap mudah, diikuti topik majaz mursal berada pada tahap sederhana, manakala topik isti„arah berada pada tahap sukar.
Actions (For repository staff only : Login required)