Pelaksanaan program literasi & numerasi (LINUS) : satu analisis / Nazariyah bt Sani

Sani, Nazariyah (2014) Pelaksanaan program literasi & numerasi (LINUS) : satu analisis / Nazariyah bt Sani. PhD thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF (Full Text)
Download (82Kb) | Preview
    [img]
    Preview
    PDF
    Download (554Kb) | Preview
      [img]
      Preview
      PDF
      Download (2149Kb) | Preview

        Abstract

        Kajian kualitatif ini menganalisis pelaksanaan Program LINUS iaitu satu program yang dilancarkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2010 bermatlamat memastikan murid Tahun 3 pada Tahun 2012 menguasai literasi dan numerasi. Kajian kualitatif ini dibuat bertitik tolak daripada hujah bahawa keberkesanan pelaksanaan Program LINUS bukan hanya bergantung kepada faktor pembelajaran dan pengajaran (P&P) guru tetapi juga kepada bagaimana masalah pembelajaran yang dialami murid itu dikenal pasti dan diatasi, masalah kurikulum dan bahan kurikulum seperti modul dan latihan untuk murid dibekalkan, latar belakang murid dan keluarganya dikenal pasti dan pendidikan murid diberi inovasi. Oleh itu berasaskan hujah tersebut, kajian kualitatif ini telah mengenal pasti bagaimana pelaksana Program LINUS di sekolah menyelesaikan lima masalah yang mendasari kegagalan murid LINUS menguasai literasi ini. Kajian ini hanya menumpukan kepada masalah literasi murid sahaja agar kajian ini lebih berfokus dan mendalam. Kajian kualitatif ini seterusnya bertujuan memerihalkan dan memahami pelaksanaan Program LINUS di sekolah. Fokus kajian adalah kepada proses sebenar yang berlaku sepanjang pelaksanaan Program LINUS dalam memastikan murid Tahun 3 di SK menguasai literasi pada tahun 2012. Seperti yang dirumuskan oleh Dunn analisis terhadap pelaksanaan sesebuah program dapat dilakukan dengan menggunakan pendekatan kualitatif. Oleh sebab pelaksanaan Program LINUS bersifat kompleks dan dinamik, pendekatan kualitatif lebih sesuai digunakan untuk mengkaji pelaksanaan program ini di sekolah di samping memerihal bagaimana peranan pelaksana LINUS dalam memastikan murid Tahun 3 di SK menguasai literasi pada tahun 2012. Peserta kajian terdiri daripada enam orang pelaksana LINUS di setiap sekolah terpilih dalam Daerah Hulu Langat. Sebanyak empat buah sekolah terlibat dalam kajian ini. Peserta kajian dipilih secara bertujuan berdasarkan peranan mereka yang penting dalam pelaksanaan Program LINUS iaitu guru besar, penyelaras Program LINUS, guru literasi, guru pemulihan, kaunselor dan ibu bapa murid LINUS. Data dikumpul melalui kaedah temubual dengan pelaksana Program LINUS, pemerhatian terhadap pembelajaran dan pengajaran guru literasi dan analisis dokumen berkaitan Program LINUS. Semasa kajian dijalankan, peserta kajian sedang melaksanakan Program LINUS bagi tahun 2012. Kesahan dan kebolehpercayaan dapatan dipertingkatkan dengan menggunakan strategi triangulasi, pemerhatian jangka masa panjang, semakan ahli, menyatakan bias pengkaji dan jejak audit. Kajian ini mendapati faktor utama yang memastikan murid menguasai literasi dalam pelaksanaan Program LINUS adalah faktor guru dan murid-murid itu sendiri. Kajian juga mendapati memang banyak kekangan yang dihadapi oleh pelaksana Program LINUS untuk memastikan murid-murid menguasai literasi. Kekangan tersebut boleh dikategorikan kepada lima faktor utama iaitu faktor murid, guru, sekolah, ibu bapa dan persekitaran. Dapatan kajian juga menunjukkan, Program LINUS dapat dilaksanakan dengan berkesan andai nilai tambah diberikan kepada Program tersebut. Nilai tambah yang dimaksudkan ialah inovasi. Dapatan kajian ini membawa implikasi bahawa perancangan program pendidikan perlu mengambil kira ciri-ciri unik kewujudan murid seluruh negara dengan memberi penekanan terhadap pelbagai perbezaan latar belakang, persekitaran dan kebolehan. Hal ini kerana hanya melalui cara ini matlamat murni pelaksanaan Program pendidikan akan dicapai, iaitu memastikan murid menguasai kemahiran asas membaca. Hasil kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada percambahan ilmu berkaitan masalah literasi untuk rujukan akan datang. Selain itu hasil kajian ini membawa implikasi kepada penggubal dasar, penyediaan program pendidikan berkaitan literasi, kepada kepimpinan sekolah dan pembentukan murid cemerlang menerusi penguasaan literasi.

        Item Type: Thesis (PhD)
        Additional Information: Thesis (Ph.D.) -– Faculty of Education, University of Malaya, 2014
        Uncontrolled Keywords: Literacy--Study and teaching--Malaysia; Education--Malaysia
        Subjects: L Education > L Education (General)
        L Education > LB Theory and practice of education
        Divisions: Faculty of Education
        Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
        Date Deposited: 15 Jun 2015 12:13
        Last Modified: 15 Jun 2015 12:13
        URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5554

        Actions (For repository staff only : Login required)

        View Item