Muhammad Rashidi , Wahab (2019) Pendalilan mantik al-Ash‘ari dalam akidah ketuhanan / Muhammad Rashidi Wahab. PhD thesis, Universiti Malaya.
Abstract
Pengasas aliran Asha‘irah, Abu al-Hasan al-Ash‘ari, merupakan seorang ulama terkemuka dalam mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Beliau diiktiraf sebagai mujaddid kurun ketiga Hijrah yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu Islam khususnya akidah dan mantik. Kehadiran al-Ash‘ari telah berjaya menangkis penyelewengan akidah yang dilakukan oleh aliran bidaah pada ketika itu khususnya Mu‘tazilah. Dalam hal ini, al-Ash‘ari telah mengemukakan metode pendalilan berasaskan kepada sumber dalil naqli dan dalil ‘aqli. Dalil naqli merujuk kepada al- Quran dan hadis, manakala dalil ‘aqli merujuk kepada pembuktian logik akal. Walau bagaimanapun, penghujahan logik akal dalam akidah, atau lebih tepat disebut sebagai pendalilan mantik, telah mengundang polemik yang berpanjangan sehingga hari ini. Sesetengah pihak mendakwa bahawa al-Ash‘ari telah menolak penggunaan hujah mantik pada penghujung usianya. Pada masa yang sama, mereka juga mengkritik ilmu mantik sebagai sesat disebabkan sejarah kemunculannya dikaitkan dengan tamadun Greek. Oleh itu, menerusi pendekatan kualitatif daripada analisis kandungan dokumen, tesis ini akan meneliti pendalilan mantik, khususnya al-qiyas, yang digunakan oleh al- Ash‘ari dalam lima buah karya akidahnya yang masyhur. Tumpuan kajian melibatkan aspek ketuhanan sahaja kerana ia merupakan topik terbesar dan terpenting dalam ilmu akidah yang banyak menggunakan hujah mantik. Tesis juga akan meneliti pendalilan mantik yang digunakan oleh ulama Asha‘irah dan menganalisis beberapa isu penting berkaitan pendalilan mantik al-Ash‘ari. Justeru, hasil kajian menunjukkan bahawa al- Ash‘ari menggunakan pendalilan mantik al-qiyas secara meluas terutamanya dalam karya terakhirnya al-Luma‘ fi al-Raad ‘ala Ahl al-Zaygh wa al-Bida‘. Kajian juga mendapati bahawa pendalilan mantik al-qiyas yang dikemukakan oleh al-Ash‘ari tersebut adalah bertepatan dari aspek al-surah dan al-maddah sehingga mencapai taraf al-burhan. Legasi pemikiran al-Ash‘ari ini kemudiannya diteruskan oleh para ulama Asha‘irah seperti al-Ghazali, al-Sanusi, al-Buti, Tuan Minal dan lain-lain yang turut menggunakan pendalilan mantik dalam karya akidah mereka. Ini bermaksud, pendalilan mantik dalam akidah yang dipelopori oleh al-Ash‘ari telah diterima umat Islam sehingga kini, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan Ahl al-Sunnah wa al- Jama‘ah di Malaysia.
Actions (For repository staff only : Login required)