Muhammud, Azlina (2012) Penghuni Raudhatus Sakinah : kajian terhadap latar belakang dan faktor salahlaku / Azlina binti Muhammud. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian bertajuk Penghuni Raudhatus Sakinah : Kajian Terhadap Latar Belakang dan Faktor Salahlaku ini memfokuskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan aspek latar belakang para pelatih dan demografi kesalahan, faktor yang mempengaruhi keterlibatan dan akhirnya peranan serta keberkesanan pusat Raudhatus Sakinah ini di dalam membimbing dan membangunkan modal insan para pelatihnya. Kajian ini mengguna-pakai metode kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Sebanyak 89 set soal selidik telah diedarkan kepada semua pelatih RS di lima cawangan iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Johor dan Melaka. Di samping itu, turut dilakukan beberapa siri temubual dengan ke dua-dua pihak iaitu di pihak pelatih dan pihak pengurusan RS. Observasi pula dilakukan ketika pelaksanaan program-program terutama di RS Selangor dan ketika lawatan-lawatan ke setiap cawangan. Hasil kajian mendapati bahawa demografi kesalahan utama para pelatih meliputi perbuatan zina dan mengandung anak luar nikah. Sementara itu, faktor utama keterlibatan mereka di dalam aktiviti kurang bermoral ini adalah pujukan teman lelaki dan inginkan keseronokan serta kemewahan dunia. Kajian juga mendapati RS amat berperanan dalam membimbing para remaja iaitu hasil dari ujian Model Penerimaan Kirkpatrik dengan nilai peratusan 83.5% dan nilai min 4.41. Secara berperingkat pula ia melibatkan tahap kepuasan sebanyak 73.8% (min=3.9), pembelajaran (94.8% , min=4.55) dan perubahan kelakuan (91.6%, min=4.5). Keputusan ini turut disokong dari hasil temubual dengan para pelatih. Keseluruhan pelatih yang ditemubual menyatakan bahawa terdapat perubahan yang amat positif dari segi teori dan praktikal. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan yang harus segera diatasi oleh pihak Raudhatus Sakinah terutama dalam aspek reaksi/kepuasan para pelatih seperti kemudahan-kemudahan penginapan dan suasana kelas serta beberapa program yang dilihat kurang mendapat sambutan.
Actions (For repository staff only : Login required)