Sathish Rao , Appalanaidu (2024) Pertimbangan moral sebagai pengantara dalam hubungan antara emosi moral dan identiti moral terhadap tingkah laku prososial pelajar sekolah menengah / Sathish Rao Appalanaidu. PhD thesis, Universiti Malaya.
PDF (The Candidate's Agreement) Restricted to Repository staff only Download (379Kb) | |
PDF (Thesis PhD) Download (2088Kb) |
Abstract
Peningkatan penglibatan pelajar sekolah menengah dalam tingkah laku tidak bermoral telah memberikan cabaran yang tinggi kepada sistem pendidikan Malaysia yang komited melahirkan pelajar sebagai modal insan yang memiliki perkembangan moral yang seimbang. Masalah kematangan pertimbangan moral pelajar boleh menjadi punca tingkah laku pelajar keluar daripada landasan moral. Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis kesan pengantaraan pertimbangan moral dalam hubungan antara emosi moral dan identiti moral terhadap tingkah laku prososial pelajar sekolah menengah. Kajian ini turut meninjau tahap, hubungan dan pengaruh emosi moral, identiti moral dan pertimbangan moral terhadap kecenderungan tingkah laku prososial pelajar. Selaras dengan itu, Model Pengantaraan Pertimbangan Moral Pelajar Sekolah Menengah (PPMPSM) dicadangkan dalam kajian ini. Kajian kuantitatif ini menggunakan reka bentuk deskriptif, korelasi dan juga komparatif sebab-akibat dalam proses penganalisisan. Seramai 393 pelajar tingkatan empat di negeri Selangor terpilih sebagai sampel kajian melalui persampelan rawak berkelompok pelbagai peringkat. Pengumpulan data dijalankan dengan menggunakan empat instrumen iaitu Skala Kecenderungan Rasa Bersalah dan Malu, Skala Identiti Moral, Pengukuran Refleksi Sosiomoral dan Pengukuran Kecenderungan Prososial. Kajian ini mendapati pelajar sekolah menengah mempunyai tahap kecenderungan emosi moral (M = 5.29, S.P. = 0.87) dan pembentukan identiti moral (M = 4.58, S.P. = 0.75) yang tinggi. Malah, skor kematangan pertimbangan moral pelajar secara keseluruhannya berada pada tahap matang (M= 67.51, S.P. = 13.73) dengan jumlah 69.9% di tahap matang dan selebihnya 30.1% masih berada di tahap tidak matang. Bagaimanapun, keseluruhan pelajar menunjukkan kecenderungan yang sederhana untuk bertingkah laku prososial (M = 3.67, S.P. = 0.63). Ujian korelasi Pearson mendapati kesemua pemboleh ubah mempunyai hubungan signifikan antara satu sama lain. Dapatan model berstruktur melaporkan identiti moral (β = 0.294, p = 0.001) dan pertimbangan moral (β = 0.291, p = 0.028) meramalkan tingkah laku prososial pelajar secara signifikan, manakala emosi moral (β = 0.135, p = 0.098) tidak meramalkan secara signifikan. Akan tetapi, emosi moral (β = 0.211, p = 0.001) dan identiti moral (β = 0.325, p = 0.000) berjaya meramalkan pertimbangan moral pelajar secara signifikan. Sumbangan model PPMPSM terhadap kecenderungan tingkah laku prososial pelajar adalah sebanyak 22% dengan kesan 0.88 keseluruhan. Model ini merumuskan bahawa identiti moral merupakan pengaruh terbesar dalam meramalkan kecenderungan tingkah laku prososial. Malah, pertimbangan moral didapati memainkan peranan penting dalam memberi kesan pengantaraan penuh dan separa masing-masing ke atas hubungan antara emosi moral dan identiti moral terhadap tingkah laku prososial pelajar. Justeru, Model PPMPSM ini diterima dan padan dengan data yang dicerap. Kesimpulannya, kajian ini secara teorinya menyumbang kepada ilmu bidang perkembangan moral menerusi pengintegrasian domain moral seperti identiti, emosi, kognitif dan tingkah laku dalam satu model kajian PPMPSM untuk memberikan penjelasan yang lebih holistik tentang keberhasilan tingkah laku prososial dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Secara praktikalnya, kajian ini memberi maklumat kepada pemegang taruh yang berkait bahawa pertimbangan moral penting untuk diangkat sebagai kemahiran yang wajib dididik untuk mencapai kemenjadian pelajar.
Item Type: | Thesis (PhD) |
---|---|
Additional Information: | Thesis (PhD) – Faculty of Education, Universiti Malaya, 2024. |
Uncontrolled Keywords: | Pertimbangan moral; Modal insan; Prososial; Emosi; Kognitif |
Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BF Psychology L Education > LC Special aspects of education |
Divisions: | Faculty of Education |
Depositing User: | Mr Mohd Safri Tahir |
Date Deposited: | 08 Nov 2024 07:31 |
Last Modified: | 08 Nov 2024 07:31 |
URI: | http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/15488 |
Actions (For repository staff only : Login required)
View Item |