Mohd Said, Aniza (2015) Model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba orang asli untuk sekolah rendah masa depan / Aniza Binti Mohd Said. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian reka bentuk dan pembangunan ini bertujuan membangunkan model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba Orang Asli yang dicadangkan untuk sekolah rendah masa depan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Model kurikulum yang dicadangkan tersebut memberikan keutamaan terhadap keperluan khas pendidikan murid Orang Asli. Kajian ini menggunakan kaedah Reka Bentuk dan Pembangunan yang dipelopori oleh Richey dan Klein (2014) untuk membangunkan model. Kajian ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan, dan penilaian. Data fasa pertama dikumpul daripada soal selidik ke atas 100 orang guru sekolah yang ada murid Orang Asli di daerah Petaling Perdana. Interpretasi analisis keperluan adalah berdasarkan nilai frekuensi dan peratus. Data fasa kedua dikumpul dengan menggunakan Teknik Delphi Ubah Suaian dua pusingan yang melibatkan seramai 18 orang panel pakar. Data dalam fasa ini telah dianalisis menggunakan statistik deskriptif iaitu median, mod dan julat antara kuartil (IQR). Konsensus pakar terhadap item-item dalam reka bentuk model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba Orang Asli disusun mengikut mod tertinggi, skor median tertinggi dan nilai julat antara kuartil (IQR) yang terkecil. Julat antara kuartil (IQR) merupakan perbezaan antara kuartil 3 dan kuartil 1 digunakan untuk menentukan sejauh mana konsensus pakar telah dicapai. Seterusnya dapatan kajian dipadankan dengan dapatan kajian tinjauan ke atas 144 orang guru dari 11 buah sekolah rendah Orang Asli Negeri Selangor. Data fasa ketiga penilaian model diperoleh melalui Teknik Fuzzy Delphi oleh 15 orang panel pakar. Penilaian tersebut berdasarkan respon pakar terhadap soal selidik yang terdiri dari lima skala Likert linguistik. Nilai threshold ‘d’ dihitung untuk menentusahkan konsensus pakar terhadap semua item yang terdapat dalam soal selidik. Nilai threshold mesti melebihi 75% untuk menentusahkan pencapaian persetujuan pakar. Manakala nilai defuzzification pula digunakan untuk menentusahkan persetujuan pakar dan mesti mencapai nilai minimum 0.60. Kajian ini menunjukkan keperluan untuk membangunkan model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba Orang Asli untuk sekolah rendah masa depan. Dapatan keseluruhan fasa pertama menunjukkan pandangan guru terhadap ilmu perubatan herba kepada murid Orang Asli iaitu sebanyak 73.0% bersetuju murid Orang Asli mempunyai pengetahuan tentang perubatan herba, 84.9% bersetuju kurikulum perubatan herba dapat memberi sumbangan kepada penerapan nilai dan 85.5% bersetuju kurikulum perubatan herba boleh memberi kesan kepada murid Orang Asli. Selain itu, persetujuan pandangan guru tentang pembangunan model pula menunjukkan objektif yang boleh dicapai sebanyak 81.3%, standard yang boleh dicapai 80.6%, kepentingan model 84.0% dan keperluan membangunkan model 76.5%. Manakala tahap kesediaan guru pula adalah rendah iaitu kesediaan guru sebanyak 15.4%, tahap pengetahuan guru sebanyak 10.9%, tahap kemahiran guru, 17.8% dan tahap sikap guru, 21.1%. Seterusnya pengetahuan guru tentang perubatan herba menunjukkan 31.0% mengetahui tumbuhan herba dan hanya 4.7% mempunyai pengetahuan tinggi tentang perubatan herba. Ini merumuskan bahawa dapatan kajian dalam fasa analisis ini menyokong model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba Orang Asli untuk sekolah rendah dibangunkan. Dapatan fasa kedua dikumpul dengan menggunakan Teknik Delphi Ubah Suaian dua pusingan. Konsensus pakar terhadap item-item dalam reka bentuk model kurikulum berasaskan iv ilmu Orang Asli disusun mengikut mod tertinggi, skor median tertinggi dan nilai julat antara kuartil (IQR) yang terkecil. Dapatan Delphi Ubah Suaian pusingan ke dua menunjukkan konsensus yang tinggi oleh pakar terhadap 130 item (86.7%). Analisis ‘Wilcoxon signed-rank test’ menunjukkan secara keseluruhannya tiada perbezaan yang signifikan terhadap majoriti item yang diuji antara pusingan pertama dan kedua. Seterusnya dapatan kajian dipadankan dengan dapatan tinjauan ke atas 144 orang guru dari 11 buah sekolah rendah Orang Asli Negeri Selangor. Dapatan kajian turut menunjukkan konsensus yang tinggi oleh pakar terhadap 139 item (95.9%). Dapatan fasa ketiga kajian ini menunjukkan bahawa panel pakar mencapai konsensus persetujuan bersama iaitu nilai threshold (d = 90.0%) dari segi kesesuaian elemen dalam model kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba. Manakala dapatan penilaian kebolehgunaan model secara keseluruhannya menunjukkan panel pakar mencapai konsensus persetujuan bersama dari segi kesesuaian elemen dalam model kurikulum perubatan herba Orang Asli dan kebolehgunaan model dalam pelaksanaan kurikulum berasaskan ilmu perubatan herba Orang Asli dengan nilai defuzzification melebhi 0.60 iaitu kesepakatan pakar ‘sangat setuju’.
Actions (For repository staff only : Login required)