Strategi penterjemahan kata nama khas dalam teks kesusasteraan klasik negara China ke Bahasa Melayu / Ooi Hooi Boey

Ooi, Hooi Boey (2013) Strategi penterjemahan kata nama khas dalam teks kesusasteraan klasik negara China ke Bahasa Melayu / Ooi Hooi Boey. Masters thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF (Full Text)
Download (1592Kb) | Preview

    Abstract

    Kajian ini bertujuan untuk menganalisis strategi-strategi yang digunakan dalam terjemahan kata nama khas teks kesusasteraan klasik China ke bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan secara kualitatif deskriptif. Pendekatan analisis kontrastif digunakan untuk meninjau sama ada strategi penterjemahan mempunyai implikasi terhadap kebolehsampaian makna kata nama khas. Daripada lapan buah cerita klasik China yang diceritakan semula dalam bahasa Melayu, sebanyak 319 kata nama khas dikumpul sebagai data kajian ini. Kata nama khas yang dikumpulkan termasuk nama dewa-dewi, maharaja, puteri, makhluk, manusia, negara, tempat, gunung dan gelaran. Teori Newmark (1988, 2001) tentang strategi penterjemahan kata nama khas telah dijadikan kerangka teoretis dalam penganalisisan data kajian ini dan pengklasifikasian strategi penterjemahan. Analisis untuk menilai kualiti terjemahan yang dikemukakan oleh Mohd. Mokhtar Ahmad dan Basil Wijasuriya (1982) juga dijadikan kayu ukuran pengkaji untuk meninjau implikasi strategi-strategi penterjemahan yang dipilih terhadap kebolehsampaian makna kata nama khas dalam korpus yang dikaji. Empat strategi yang utama telah dikenal pasti dalam penterjemahan kata nama khas bahasa Cina ke bahasa Melayu. Hasil dapatan analisis tentang kekerapan penggunaan strategi terjemahan kata nama khas dalam kajian ini menunjukkan strategi yang paling banyak digunakan ialah Strategi Penterjemahan Transliterasi, diikuti dengan Strategi Penterjemahan Hibrid, Strategi Penterjemahan Literal dan Strategi Penterjemahan Semantik. Antara strategi tersebut, Strategi Penterjemahan Transliterasi paling banyak digunakan dalam terjemahan nama maharaja, puteri, panglima dan manusia, diikuti nama dewa, dewi serta makhluk. Srategi ini kurang digunakan dalam terjemahan nama negara, iv daerah, tempat dan gunung. Sebaliknya, kebanyakan nama negara, daerah, tempat dan gunung diterjemahkan dengan menggunakan Strategi Penterjemahan Hibrid. Hasil kajian ini juga menunjukkan pemilihan strategi penterjemahan mempunyai implikasi tertentu terhadap kebolehsampaian makna kata nama khas. Dapatan kajian ini menunjukkan penterjemahan kata nama khas seharusnya mengambil kira empat faktor. Pertama, penterjemah mesti sedar akan kelebihan dan kekurangan strategi untuk penterjemahan kata nama khas. Kedua, penterjemahan kata nama khas antara dua bahasa perlu selaras dan seragam untuk jenis kata nama khas yang sama supaya pembaca dapat mengikuti perkembangan cerita dengan mudah. Ini akan membantu mencapai tujuan komunikatif terjemahan. Ketiga, penterjemah perlu memelihara tujuan dan hasrat pengarang teks bahasa sumber dalam penggunaan kata nama khas. Akhir sekali dan secara keseluruhannya, tahap pendidikan pembaca bahasa sasaran serta tahap pengenalannya terhadap unsur budaya nuansa bahasa sumber juga perlu diambil kira dalam penterjemahan karya sastera.

    Item Type: Thesis (Masters)
    Additional Information: Dissertation (M.A.) - Faculty of Languages and Linguistics, University of Malaya, 2013.
    Uncontrolled Keywords: Terjemahan; Bahasa Cina - Bahasa Melayu
    Subjects: P Language and Literature > PN Literature (General)
    Divisions: Faculty of Languages and Linguistics
    Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
    Date Deposited: 25 Jun 2015 09:49
    Last Modified: 25 Jun 2015 09:49
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5514

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item