Hashim, Nurhamizah (2015) Psikologi keperluan remaja dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) / Nurhamizah Hashim. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini menganalisis enam buah novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), karya enam orang pengarang dengan menggunakan Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja yang telah diubah suai dari Teori Hierarki keperluan Manusia. Novel- novel tersebut ialah Azfa Hanani (1995), Trilogi Cinta (2002) Merenang Gelora (2002), Merdekakan Cinta Ratna (2003), Beraraklah Awan Pilu (2006) dan Jendela Menghadap Jalan (2009). Analisis tersebut akan menggunakan lima peringkat utama yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja, iaitu pertama, keperluan fisiologi, kedua, keperluan keselamatan, ketiga, keperluan kasih sayang dan cinta, keempat, keperluan penghargaan kendiri dan akhir sekali kelima, keperluan penyempurnaan kendiri. Permasalahan kajian yang bertolak daripada tempoh dan usia remaja akan wujud pelbagai keperluan, keinginan dan kehendak yang diperlukan oleh golongan ini bagi memenuhi impian, matlamat, visi dan misi yang dicita-citakan oleh mereka. Namun begitu, masih ada yang tidak memahami keperluan yang diperlukan oleh golongan remaja dan anak-anak mereka. Namun, sering kali kemampuan, kebolehan, keperluan, kehendak dan keinginan mereka ini dianggap tidak universal kerana kehidupan mereka masih di bawah jagaan ibu dan bapa. Justeru itu, perlulah dilakukan satu kajian bagi melihat keperluan, keinginan dan kehendak-kehendak watak remaja yang timbul akibat daripada kekurangan keperluan atau berlakunya situasi keperluan yang tidak dipenuhi serta tindakan mereka bagi memenuhi kehendak tersebut dalam karya-karya yang telah dipilih. Manakala objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti keperluan watak remaja, menganalisis keperluan watak remaja berdasarkan aplikasi Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja serta merumuskan keperluan watak remaja yang dominan dalam setiap peringkat hierarki dari enam buah novel remaja tersebut. Dapatan kajian menunjukkan bahawa setiap objektif telah berjaya dicapai. Kesimpulannya, watak remaja yang terdapat di dalam novel adalah merupakan cerminan remaja di alam realiti, maka boleh dikatakan bahawa keperluan, keinginan dan kehendak watak remaja yang ditonjolkan oleh pengarang dalam novel mereka adalah berdasarkan kehidupan remaja yang sebenar.
Actions (For repository staff only : Login required)