Mohd Radzi, Taib (2016) Reka bentuk model kepimpinan ulul albab Maktab Rendah Sains Mara / Mohd Radzi Taib. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Objektif kajian ini adalah untuk membina model kepimpinan Ulul Albab berdasarkan tiga dimensi utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik. Kajian ini adalah berbentuk kajian tinjauan deskriptif yang menggunakan teknik Delphi (Dalkey dan Helmer, 1963) terhadap tiga buah MRSM, iaitu MRSM Kepala Batas, MRSM Gemencheh dan MRSM Kota Putra. Tujuan utama kajian ini adalah untuk merekabentuk model kepimpinan pendidikan yang baharu iaitu “Kepimpinan Ulul Albab”. Kerangka konsep kajian ini mengguna pakai tiga fasa kajian dalam Model Reka Bentuk Hannafin & Peck (1987) dan Model Tujuh Langkah Menanda Aras Juran oleh B. Wood (2009). Teknik Delphi yang digunakan dalam fasa reka bentuk telah menghasilkan item soal selidik dan telah disahkan oleh panel pakar bagi kegunaan kajian tinjauan dalam fasa penilaian. Kajian ini melibatkan seramai 305 orang guru dan 400 orang pelajar sebagai peserta kajian. Sub-dimensi kepimpinan Ulul Albab telah dikenalpasti dalam fasa analisis keperluan dan item-itemnya telah disahkan oleh 15 orang pakar dalam fasa reka bentuk. Data kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan SPSS 21.0 (Min, median, mod dan peratus) dan analisis SEM (Struktural Equation Modeling Using Amos Graphic) yang merupakan kaedah pengujian model untuk menyelidik perhubungan antara sekumpulan pembolehubah dalam sesebuah kajian (Chua, 2009). Hasil kajian ini mendapati nilai indeks kesepadanan NFI, RFI, IFI, TLI dan CFI model modifikasi persepsi guru terletak antara .915 hingga .966, manakala bagi model modifikasi persepsi pelajar pula ialah antara .902 hingga .956. Nilai RMSEA (.059), adalah sama bagi kedua-dua model dan hal ini telah mengesahkan secara signifikan model modifikasi guru dan pelajar ini sepadan dengan data kajian. Terdapat persamaan dan perbezaan ciri-ciri kepimpinan Ulul Albab yang agak ketara antara model persepsi guru dan pelajar. Model persepsi guru menunjukkan dimensi Ensiklopedik menjadi pembolehubah dimalarkan antara dimensi Ijtihadik (pembolehubah dimanipulasi) dan dimensi Quranik (pembolehubah bergerak balas); dengan hubungan yang tertinggi (2.05) antara dimensi Ijtihadik dan Ensiklopedik. Manakala model persepsi pelajar menunjukkan dimensi Quranik menjadi pembolehubah dimalarkan antara dimensi Ijtihadik (pembolehubah dimanipulasi) dan dimensi Ensiklopedik (pembolehubah bergerak balas); dengan hubungan yang tertinggi (1.04) antara dimensi Ijtihadik dan Ensiklopedik. Implikasi kajian ini adalah berkaitan dengan amalan kepimpinan Ulul Albab oleh pengetua dan barisan kepimpinannya terhadap ciri-ciri terbaik kepimpinan tersebut. Oleh itu, kajian ini diharap dapat dijadikan sebagai penanda aras kepada amalan dan gaya kepimpinan Ulul Albab di MRSM, dan seterusnya dapat mempengaruhi pembentukan budaya kepimpinan yang Islamik iaitu berasaskan konsep kepatuhan, ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Actions (For repository staff only : Login required)