Wan Mohd Zain, Wan Norlidza (2015) Kecerdasan emosi dalam novel remaja / Wan Norlidza binti Wan Mohd Zain. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti komponen-komponen kecerdasan emosi dalam novel-novel remaja dan pengaruh komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah remaja dalam novel kajian. Kehadiran komponen kecerdasan emosi dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak yang pastinya mempunyai kaitan dengan latar belakang watak dan tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Remaja yang pandai mengurus emosi pastinya memiliki sifat remaja unggul iaitu mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang mulia dan disanjung oleh semua orang. Terdapat tiga objektif yang dicapai dalam kajian ini iaitu, mengenal pasti kehadiran komponen kecerdasan emosi pada watak-watak yang terdapat dalam teks kajian, menganalisis kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak protagonis remaja berdasarkan Model Kecerdasan Emosi (MKE) dalam teks kajian dan menilai pengaruh dan kepentingan komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah unggul watak protagonis remaja dalam teks terpilih. Kajian ini berlandaskan Teori Kecerdasan Emosi yang dipelopori oleh Mayer dan Salovey (1990) dan Teori Kecerdasan Emosi oleh Daniel Goleman (1995/1999). Selain itu, Pendekatan Tauhid juga diguna pakai untuk melihat aspek-aspek kerohanian Islam dalam diri remaja. Satu Model Kecerdasan Emosi (MKE) telah dibentuk untuk menganalisis dan mengupas komponen-komponen kecerdasan emosi yang terdapat dalam novel-novel remaja terpilih. Model Kecerdasan Emosi (MKE) kajian ini dibahagikan kepada tiga komponen iaitu Komponen Kesedaran Peribadi, Komponen Kesedaran Sosial dan Komponen Kesedaran Rohani. Komponen Kesedaran Peribadi dibahagikan kepada tiga ciri iaitu mengenal emosi sendiri, mengurus emosi, dan motivasi kendiri. Analisis untuk komponen ini dibuat berdasarkan perlakuan watak-watak remaja apabila menghadapi konflik. Komponen Kesedaran Sosial melihat hubungan watak remaja dengan pihak lain iaitu terdapat ciri-ciri yang diperturunkan iaitu empati dan kemahiran sosial. Komponen Kesedaran Rohani pula terbahagi kepada aspek akhlak dan akidah. Aspek akidah melihat hubungan watak remaja dengan penciptaNya manakala aspek akhlak pula akan melihat amalan-amalan kebaikan mereka. Kajian ini telah menemukan beberapa dapatan penting hasil daripada analisis yang menggunakan Model Kecerdasan Emosi (EMK) yang dibentuk. Pertama, keseluruhan novel remaja yang dikaji telah dimantapkan dengan komponen-komponen kecerdasan emosi yang terdapat dalam model kajian. Seterusnya, dapatan kajian juga telah membuktikan bahawa watak-watak utama remaja dalam kajian dapat melalui kehidupan mereka dengan tenang dan tabah kerana mempunyai kemahiran mengendalikan emosi dengan positif. Hal ini secara tidak langsung telah memaparkan ciri-ciri remaja yang berakhlak tinggi. Dapatan seterusnya telah menunjukkan bahawa tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh watak-watak remaja adalah pada tahap yang tingggi kerana mempunyai kemahiran untuk menguruskan emosi dan menjalinkan hubungan baik dengan pihak lain. Keunggulan sahsiah watak-watak remaja protagonis terbukti apabila mereka sentiasa disanjung dan diberi kepercayaan oleh watak-watak lain. Dapatan-dapatan ini dengan jelas membuktikan bahawa komponen kecerdasan emosi memainkan peranan penting kepada pembentukan sahsiah remaja yang unggul seperti yang diaspirasikan oleh negara.
Actions (For repository staff only : Login required)