Perspektif Islam dan sains : kesan madu terhadap memori spatial / Mohd Amiruddin bin Kamarulzaidi

Kamarulzaidi, Mohd Amiruddin (2015) Perspektif Islam dan sains : kesan madu terhadap memori spatial / Mohd Amiruddin bin Kamarulzaidi. Masters thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF
Download (79Kb) | Preview
    [img]
    Preview
    PDF
    Download (385Kb) | Preview
      [img]
      Preview
      PDF (Full Text)
      Download (5Mb) | Preview

        Abstract

        Madu, pemanis semulajadi, dianggap oleh sains sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi gula dan pelbagai bahan fitokimia. Penggunaan madu dari kedua-dua perspektif sains dan tradisi Islam, dengan memfokus tentang kaitannya dengan memori, menjadi topik kajian ini. Kajian juga melibatkan kerja makmal yang menggunakan model tingkah laku haiwan. Konsep madu sebagai penawar dalam tradisi Islam adalah berdasarkan pernyataan khusus di dalam surah al-Nahl (Lebah), iaitu surah al-Qur’an yang ke-16. Ayat 68-69 menyatakan tentang penghasilan madu dalam pelbagai warna, pembuatan sarang oleh lebah di pelbagai tempat dan juga kebolehan madu “menyembuh”. Beberapa hadith turut menyokong peranan madu sebagai penawar dan sarjana-sarjana Muslim terdahulu menyarankan pengambilan madu untuk meningkatkan memori. Pengkaji sains telah membuktikan kesan positif madu terhadap beberapa masalah kesihatan, tetapi maklumat yang mengaitkannya dengan memori adalah sedikit. Analisis kandungan (content analysis) berkaitan penggunaan madu dan memori dari perspektif sains disorot melalui pelbagai penerbitan jurnal saintifik dan bagi perspektif tradisi Islam adalah berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith, tulisan sarjana Islam dan laman web berautoriti. Maklumat yang dikenalpasti, dibanding dan didokumentasi secara sistematik. Kajian makmal pula melihat kepada kesan pengambilan selama tiga bulan sejenis madu tempatan (madu Tualang) terhadap memori spatial (berkaitan ruang) berdasarkan kelakuan tikus jantan Sprague Dawley (Eksperimen 1). Selain itu, perbandingan dilakukan antara kumpulan disuap-paksa dengan madu Tualang atau larutan salin dari aspek pencirian am morfologi luaran struktur otak (Eksperimen 2) dan aspek neurohistologi hipokampus, struktur otak berkaitan pembentukan memori (Eksperimen 3). Eksperimen (1) menggunakan instrumen Radial Arm Maze (RAM). Keputusan Eksperimen (2) diperoleh di akhir kerja makmal eksperimen (1), bila mana otak yang dibedah keluar diamati serta ciri-ciri terpilih morfologi am diukur. Seterusnya dalam Eksperimen (3) teknik pewarnaan neurohistologi Nissl diaplikasi ke atas tisu hipokampus. Hasil analisis kandungan mendapati kedua-dua perspektif menyarankan madu dalam penjagaan kesihatan. Penggunaan madu untuk memori tidak dinyatakan secara khusus di dalam al-Qur’an dan hadith, tetapi disebut di dalam penulisan sarjana-sarjana Islam. Kajian kelakuan membuktikan pengambilan madu Tualang sekurang-kurangnya selama tujuh minggu dapat meningkatkan memori spatial tikus, terutamanya memori kerja (working memory) dan memori rujukan (reference memory). Kumpulan ini kurang melakukan kesilapan berbanding kumpulan kawalan. Pengambilan madu Tualang tidak mengakibatkan sebarang kesan buruk terhadap tinggi, luas dan berat keseluruhan struktur otak. Dari aspek neurohistologi tisu hipokampus tidak terjejas dengan pengambilan madu Tualang. Kumpulan utama neuron piramid di lapisan CA1 dan CA3 yang dilaporkan terlibat dalam penghasilan memori boleh diamati. Pengiraan sel menunjukkan peningkatan neuron yang signifikan (p<0.05) bagi kedua-dua kawasan. Kawasan CA1 mencatatkan bilangan neuron yang paling banyak diikuti dengan di kawasan CA3c dan CA3a. Kesimpulannya, saranan pengambilan madu untuk memori oleh tradisi Islam disokong oleh kajian ini. Penemuan ini menunjukkan pengambilan madu Tualang memberikan kesan positif terhadap memori spatial dan bilangan neuron piramid hipokampus; mungkin disebabkan ciri kandungan antioksidanya seperti yang dilaporkan oleh pengkaji lain.

        Item Type: Thesis (Masters)
        Additional Information: Dissertation (M.Phil.) -- Institute of Graduate Studies, University of Malaya, 2015
        Uncontrolled Keywords: Islam; Sains; Kesan madu; Memori spatial
        Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc
        Q Science > Q Science (General)
        Divisions: Institute of Graduate Studies
        Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
        Date Deposited: 07 Oct 2015 16:13
        Last Modified: 07 Oct 2015 16:13
        URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5958

        Actions (For repository staff only : Login required)

        View Item