Pengamalan pemberian ganjaran dan hukuman dalam penghafazan Al-Quran daripada perspektif sains kelakuan dan tradisi Islam / Mohamad Khairudin bin Bajuri

Bajuri, Mohamad Khairudin (2015) Pengamalan pemberian ganjaran dan hukuman dalam penghafazan Al-Quran daripada perspektif sains kelakuan dan tradisi Islam / Mohamad Khairudin bin Bajuri. Masters thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF
Download (2979b) | Preview
    [img]
    Preview
    PDF
    Download (174Kb) | Preview
      [img]
      Preview
      PDF
      Download (1816Kb) | Preview
        [img]
        Preview
        PDF
        Download (393Kb) | Preview
          [img]
          Preview
          PDF (Full Text)
          Download (218Kb) | Preview

            Abstract

            Neurosains merupakan satu bidang sains konvensional yang memfokus kepada sistem saraf melalui pelbagai pendekatan. Aktiviti neuron (sel utama sistem saraf) melibatkan sistem saraf pusat (otak dan korda spina) dan sistem saraf periferi (saraf kranium dan saraf spinal) dipertanggungjawabkan menjana tingkah laku manusia, termasuklah aktiviti mental yang kompleks (contoh: belajar, penghafazan, pembentukan memori, berfikir dan membuat perancangan). Penemuan kajian melalui pelbagai pendekatan mendapati fungsi otak yang dipertanggungjawabkan kepada neuron merentasi isu berbeza dari perspektif Islam; dibincangkan di bawah pelbagai topik, hinggakan melibatkan hukum-hakam serta tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kekangan pengasingan pengkhususan bidang pengajian mengakibatkan kekeliruan dan/atau konflik dalam dua kumpulan: individu yang masing-masing berlatarbelakangkan pendidikan bidang pengajian Islam dan sains konvensional. Pemahaman yang tidak menyeluruh dan penggunaan istilah dengan pemahaman berbeza boleh mengakibatkan pertembungan pandangan dan salah faham antara dua golongan ini. Kajian ini memfokus kepada pemberian peneguhan (ganjaran dan hukuman) serta kaitannya dengan proses pembelajaran, iaitu proses perolehan sesuatu maklumat, tingkah-laku dan/atau kebolehan baru melalui sistem saraf yang berfungsi. Skopnya adalah kepada amalan pemberian ganjaran dan hukuman dalam meneguhkan proses pembelajaran formal berkonsepkan ulul al-bab, khusus kepada aktiviti hafazan al-Quran di sebuah sekolah menengah agama yang terpilih di Terengganu. Kajian melibatkan dua fasa. Fasa pertama menggunakan pendekatan analisis kandungan bagi membandingkan penggunaan ganjaran dan hukuman dari perspektif sains konvensional (sains kelakuan) dan Islam. Maklumat dari perspektif sains konvensional, khususnya berkaitan sains tingkah-laku dan psikologi pendidikan diperoleh daripada pelbagai sumber penyelidikan sedia ada. Maklumat dari perspektif Islam pula adalah daripada sumber tradisi Islam, seperti al-Quran, Hadis dan penulisan sarjana-sarjana Islam. Didapati tiga pendekatan peneguhan yang sama digunakan dalam meningkatkan tingkah laku terpilih: (a) peneguhan positif, (b) peneguhan negatif, dan (c) hukuman. Perbandingan di antara kedua-dua perspektif menunjukkan persamaan pandangan bahawa pemberian ganjaran dan hukuman bertindak mengukuhkan kelakuan terpilih melalui rangsangan terhadap emosi dan naluri seseorang. Penekanan terhadap penerapan aspek spiritual dan psikologi yang dianjurkan Islam dalam pengukuhan tingkah laku, tanpa dikesampingkan tidak ditemui dalam perspektif sains konvensional. Fasa kedua melibatkan kajian lapangan menggunakan metode kajian secara kualitatif di sebuah sekolah agama di Terengganu. Selain dari pengutipan data berdasarkan dokumen rasmi sekolah kajian, temu bual berstruktur melibatkan seorang daripada penggubal buku panduan, enam orang guru, dan sepuluh orang murid peringkat menengah rendah telah dilaksanakan. Tiga bentuk amalan pemberian peneguhan didapati diamalkan di sekolah kajian, iaitu: (a) ganjaran positif, (b) ganjaran negatif, dan (c) hukuman. Amalan ini selaras seperti mana ditetapkan di dalam dokumen panduan sekolah, dan dapatan analisis kandungan. Berdasarkan analisis temu bual, hampir keseluruhan sampel, terutamanya pihak guru, bersetuju bahawa pemberian peneguhan ketiga-tiga jenis memberikan pengaruh yang baik ke atas peningkatan hafazan. Di samping itu, amalan ini dapat membantu meningkatkan motivasi murid dalam hafazan al-Quran. Pengenalpastian amalan baik dan pendekatan berkesan berasaskan konsep ganjaran dan hukuman dalam pembelajaran boleh dikongsi sama sebagai cadangan penambahbaikan pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia. Kata Kunci – Neurosains; Perspektif Islam; Pembelajaran; Peneguhan; Ganjaran Positif; Ganjaran Negatif; Hukuman

            Item Type: Thesis (Masters)
            Additional Information: Dissertation (M.Phil.) -- Institute of Graduate Studies, University of Malaya, 2015
            Uncontrolled Keywords: Neurosains; Perspektif Islam; Pembelajaran; Peneguhan; Ganjaran Positif; Ganjaran Negatif; Hukuman
            Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc
            L Education > L Education (General)
            Divisions: Institute of Graduate Studies
            Depositing User: Mrs Nur Aqilah Paing
            Date Deposited: 07 Oct 2015 16:56
            Last Modified: 07 Oct 2015 16:56
            URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5966

            Actions (For repository staff only : Login required)

            View Item