Nursham, Abdul Aziz (2015) Novel-novel terpilih Azizi Haji Abdullah: Kajian intertekstualiti / Nursham Abdul Aziz. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini menganalisis tiga buah novel terpilih karya Azizi Hj Abdullah dengan menggunakan Teori Intertekstualiti. Novel-novel tersebut ialah Seorang Tua di Kaki Bukit (1982), Memoir Seorang Guru (2007) dan Beruk (2010). Analisis tersebut akan menggunakan tiga prinsip utama yang terdapat dalam Teori Intertekstualiti iaitu pertama, prinsip transformasi, kedua, prinsip modifikasi dan ketiga, prinsip ekspansi. Permasalahan kajian bertolak daripada Azizi Hj Abdullah sebagai seorang sasterawan yang berkecenderungan melakukan penyelidikan dan merujuk sumber-sumber asalnya untuk diangkat dalam karyanya yang baharu. Kebanyakan hipoteksnya ialah teks pengarang itu sendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Azizi Hj Abdullah menulis dengan merujuk hipoteks yang melalui pelbagai proses seperti kerja pemindahan atau penambahan episod tertentu bagi memperkukuh makna hipoteks. Selain itu terdapat juga proses-proses lain seperti penukaran, pengembangan, serapan, persamaan atau pembaikan daripada teks asal membolehkan teks asal berubah kepada bentuk baharu sama ada dari aspek kandungan ataupun sisi plot penceritaan. Di samping berfungsi sebagai sebuah rakaman atau pengalaman bagi generasi akan datang. Kreatifnya seorang pengarang itu mengadun kembali teks awal mereka dalam hiperteks membuktikan bahawa setiap karya sastera akan terus hidup, dapat dilanjutkan persoalan, diperdalam gejolak jiwa watak seterusnya meninggalkan impak yang besar kepada khalayak pembaca melalui pemaknaan sama ada dalam bentuk yang konkrit mahupun yang signifikan. Kesimpulannya, melalui pengaplikasian prinsip-prinsip daripada teori intertekstualiti membuktikan bahawa pengarang berjaya menggembleng, menggabung serta menyepadukan pelbagai kaedah secara kreatif dan inovatif bagi menggarap novel sebagai wadah maklumat dan makna baharu dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekalkan jati diri kepengarangannya yang mengangkat kisah orang tua yang berjiwa sensitif.
Actions (For repository staff only : Login required)