Muhamad Ismail, Abdullah (2012) Khilaf di antara imam Al-Rafi‘i dan imam Al-Nawawi dalam ibadah: Analisis terhadap metodologi pentarjihan / Muhamad Ismail Abdullah. Masters thesis, Universiti Malaya.
Abstract
Al-Imam al-Rafi‘i dan al-Imam al-Nawawi merupakan dua tokoh besar dalam mazhab Shafi‘i. Peranan mereka dalam memurnikan semula mazhab ini adalah usaha besar yang tiada tolok bandingnya dengan generasi terdahulu mahupun yang terkemudian. Para Shafi‘iyyah yang menyusul sesudah mereka telah sepakat bahawa sebarang hukum yang disepakati bersama oleh kedua-dua imam tersebut adalah pendapat muktamad dalam mazhab. Jika mereka berselisih maka pandangan al-Imam al-Nawawi akan diutamakan sekiranya beliau mempunyai alasan pentarjihan. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi perselisihan di antara al-Imām al-Rāfi‘i dan al-Imam al-Nawawi hingga menghasilkan hukum yang berbeza-beza. Selain itu juga bertujuan untuk menghurai keberkesanan aplikasi metodologi hukum mazhab Shafi‘i oleh kedua-dua imam tersebut dalam masalah-masalah yang diperselisihkan antara mereka khususnya dalam bab ibadah. Di samping itu juga bertujuan untuk menilai metodologi yang digunakan oleh kedua-dua mereka dalam proses mentarjihkan hukum. Untuk itu, penulis telah memilih bahagian taharah daripada bab ibadat sebagai sampel kajian ini. Berpandukan metode historikal dan dokumentasi, data-data yang diperoleh telah dianalisis dengan menggunakan pendekatan induktif, deduktif dan komparatif. Di antara dapatan kajian ini menunjukkan bahawa al-Imām al-Rāfi‘i dan al-Imam al-Nawawi sangat konsisten berpegang kepada usul mazhab yang telah ditetapkan oleh al-Imam al-Shafi‘i. Selain itu, penguasaan al-Imām al-Nawawi dalam bidang hadis dan kemahiran beliau dalam bidang fiqh dan usūlnya telah memberikan kelebihan kepada beliau melakukan pentarjihan hukum.
Actions (For repository staff only : Login required)