Marinsah, Syamsul Azizul (2013) Amalan tradisi dalam masyarakat Bajau di Semporna Sabah : analisis dari perspektif 'urf dalam hukum Islam / Syamsul Azizul bin Marinsah. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Etnik Bajau merupakan kaum bumiputera kedua terbesar di Sabah. Majoritinya beragama Islam. Mereka kaya dengan amalan adat dan `urf yang tersendiri. Kajian ini memfokuskan tentang amalan tradisi dalam masyarakat Bajau Semporna. Pengkaji memilih Semporna sebagai lokasi kajian kerana ramai etnik Bajau bertumpu di sini. Masalah utama dalam kajian ini ialah penerimaan orang Bajau terhadap ajaran Islam menyebabkan berlakunya percampuran antara adat tradisi Bajau dengan ajaran Islam. Dengan kata lain, berlakunya fenomena sinkretisme-Islam. Implikasinya, ada antara amalan yang diwarisi secara turun temurun itu dianggap sebagai ajaran Islam, sedangkan ia hanyalah amalan yang diwarisi dan tiada dalil yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Lantaran itu, objektif utama kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana adat dan `urf masyarakat Bajau Semporna selari dengan tuntutan ‘urf sahih dalam syariat Islam ataupun sebaliknya. Untuk mencapai objektif yang ditetapkan, pengkaji cuba meneliti latar belakang di sebalik pengamalan tradisi Bajau sama ada amalan tersebut merupakan kesan peninggalan ajaran Islam atau pra-Islam. Selain itu, pengkaji turut menjelaskan nas-nas sahih yang menyokong atau menolak amalan tradisi ini. Kajian ini termasuk dalam penelitian kualitatif. Justeru itu, kajian ini menggunakan metode pengumpulan data melalui observasi, temu bual dan dokumentasi. Dapatan asas kajian mendapati, dalam amalan tradisi masyarakat Bajau, terdapat banyak unsur sinkretisme antara ajaran Islam dengan adat tradisi. Kesimpulannya, amalan tradisi ini perlu diharmoniskan agar amalan tradisi yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam sahaja yang wajar diamalkan.
Actions (For repository staff only : Login required)