Ramli, Rahisam (2011) Keberkesanan agihan zakat dalam membasmi kemiskinan : kajian terhadap asnaf fakir dan miskin di Negeri Sembilan / Rahisam bin Ramli. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Tujuan utama kajian ini ialah untuk mengenal pasti keberkesanan agihan zakat dalam membasmi kemiskinan di kalangan asnaf fakir dan miskin di Negeri Sembilan. Meskipun statistik kutipan zakat di Negeri Sembilan semakin meningkat pada setiap tahun dan program-program membasmi kemiskinan giat dijalankan tetapi fenomena kemiskinan masih terus wujud. Pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal umat Islam juga telah menyediakan pelbagai skim bantuan untuk memastikan asnaf fakir miskin sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya. Persoalannya adakah langkah-langkah tersebut berkesan untuk mengurangkan kadar kemiskinan, jurang kemiskinan, purata jurang kemiskinan, nisbah jurang pendapatan dan ketidakseimbangan agihan pendapatan? Sehubungan dengan itu kajian ini cuba menganalisis sejauhmanakah agihan zakat berkesan untuk membasmi kemiskinan. Populasi kajian adalah terdiri dari asnaf fakir dan miskin yang menerima agihan zakat pada tahun 2008 di Negeri Sembilan. Sebanyak 10 peratus dari jumlah populasi telah dipilih sebagai sampel kajian ini melalui teknik persampelan bertujuan (purposive sampling technique) iaitu seramai 230 orang meliputi daerah Seremban, Jelebu dan Rembau. Bagi memahami kemiskinan, profil responden dianalisis dengan menggunakan kaedah Statistik Huraian (Descriptive Statistic) untuk menjelaskan ciri-ciri golongan yang terjebak dalam kemiskinan. Kajian membuktikan agihan zakat yang dilaksanakan oleh MAINS memberi sumbangan kepada pengurangan kadar kemiskinan, menurunkan jurang kemiskinan, mengecilkan purata jurang kemiskinan dan memperbaiki nisbah jurang pendapatan. Manakala analisis ketidakseimbangan agihan pendapatan mendapati keluk Lorenz semakin menghampiri garisan keseimbangan agihan pendapatan. Begitu juga nilai pekali Gini turut menunjukkan agihan zakat dapat memperbaiki agihan pendapatan asnaf fakir miskin. Ini bermakna agihan zakat memberi sumbangan yang signifikan untuk memperbaiki ketidakseimbangan agihan pendapatan di kalangan asnaf fakir miskin. Justeru dicadangkan MAINS perlu meningkatkan kaedah agihan dengan mengenalpasti golongan yang masih terjebak dalam kemiskinan, menyediakan penempatan khas untuk warga tua miskin, mempertingkatkan pendidikan dan kemahiran golongan OKU, mewujudkan jaringan maklumat dan aktiviti ekonomi ibu tunggal untuk mengoptimumkan agihan zakat dan memartabatkan institusi zakat di peringkat arus perdana.
Actions (For repository staff only : Login required)