Ismail, Mohd Hamidi (2011) Af'al Allah menurut al-Jurjani (m.816H./1413M.) : kajian dan terjemahan teks terpilih dari Syarh al-mawaqif / Mohd Hamidi Ismail. Masters thesis, University of Malaya.
Abstract
Kajian ini yang bertajuk “Af„al Allah Menurut Al-Jurjani (m. 816H./1413M.) : Kajian dan Terjemahan Teks Terpilih Dari Syarh Al-Mawaqif” merupakan sebuah kajian yang menganalisis dan menterjemah teks al-marsad al-sadis yang membicarakan tentang Perbuatan Allah daripada al-mawqif al-khamis tentang ilahiyat dalam kitab Sharh al-Mawaqif karangan al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani. Objektif kajian ini adalah untuk mendedahkan pemikiran Asha„irah berpandukan olahan al-Jurjani dalam mendepani wacana isu Af‘al Allah. Kajian ini mengandungi enam bab. Bab satu iaitu pendahuluan menjelaskan tentang latarbelakang, skop dan objektif kajian serta metodologi yang digunakan dalam menghasilkan kajian ini. Bab dua mengetengahkan pengenalan kepada ketokohan al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani dan keistimewaan kitab beliau Sharh al-Mawaqif. Bab tiga dan empat memperincikan pemikiran al-Jurjani ke atas konsep Af‘al Allah dan isu-isu yang berhubung dengannya. Bab lima merupakan himpunan terjemahan teks terpilih dan bab enam kesimpulan kajian. Secara keseluruhan, kajian ini berkonsepkan perpustakaan (library research) yang berteraskan dua kaedah pengkajian iaitu pengumpulan dan analisis data. Bagi menganalisis data, tiga sub aplikasi digunakan iaitu induktif, deduktif dan komparatif. Hasil yang dijumpai oleh kajian ialah, Asha„irah dan al-Jurjani khasnya telah mengaplikasikan beberapa metode dalam menganalisis dan menjelaskan isu-isu yang didebatkan dalam isu Af‘al Allah. Metode-metode tersebut terhasil daripada pengimbangan dan penolakan terhadap hujah serta pemikiran mutakallimun yang lain seperti pendekatan ta‘alluq (kaitan) yang memperjelaskan bagaimana hubungkait Perbuatan Allah yang bersifat qadim dengan hamba yang bersifat baharu dan manhaj ja’iz (harus) yang memutlaqkan sifat Iradah Allah SWT menguasai setiap sesuatu. Didapati, metode-metode ini berupaya merawat polemik yang timbul daripada isu Af‘al Allah. Di samping itu, kajian juga menemui betapa lemah dan tidak seragamnya pengutaraan hujah dan pemikiran mutakallimun yang lain. Berdasarkan kepada hubungan isu Af‘al Allah dengan rukun beriman qada’ dan qadar, isu ini wajib diperjelas dengan sebaik mungkin demi mengelakkan muslimun keliru dalam memilih pendekatan dan iktikad yang sepatutnya untuk memahami isu Af‘al Allah seterusnya menyakini keimanan kepada qada’ dan qadar
Actions (For repository staff only : Login required)