Khaled , Mat (2018) Pelaksanaan modul sahsiah unggul murid (SUMUR) Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan hubungannya dengan pembangunan sahsiah pelajar / Khaled Mat. PhD thesis, University of Malaya.
PDF (The Candidate's Agreement) Restricted to Repository staff only Download (1602Kb) | ||
| PDF (Thesis PhD) Download (4Mb) | Preview |
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji beberapa aspek pelaksanaan modul Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Metode kajian terdiri daripada gabungan kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian perpustakaan membicarakan tentang definisi pembangunan sahsiah, pembangunan sahsiah menurut perspektif Islam, model pembangunan sahsiah, faktor-faktor yang mempengaruhi sahsiah dan program pembangunan sahsiah. Kajian juga berkaitan sejarah perkembangan pendidikan Islam, sekolah-sekolah agama masa kini, penubuhan SMKA, modul SUMUR dan pelaksanaannya di SMKA. Melalui kajian lapangan, pengkaji telah menggunakan metode soal selidik, di mana saiz sampel instrumen soal selidik adalah seramai 400 orang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan empat yang mengikuti modul SUMUR sepenuhnya di SMKA. Kajian ini melibatkan 5 daripada 57 buah SMKA terpilih di seluruh negara yang dibahagikan kepada lima zon utama. Pemilihan lokasi kajian dibuat mengikut metode persampelan berkelompok mengikut zon, iaitu Utara (SMKA Al-Irshad), Selatan (SMKA Sheikh Haji Mohd Said), Timur (SMKA Naim Lil Banat), Tengah (SMKA Slim River) dan Malaysia Timur (SMKA Tun Ahmad Zaidi), dan seterusnya pemilihan dijalankan secara rawak mudah. Kesahan data ditentukan dengan menubuhkan panel rujukan pakar. Melalui kajian rintis, kebolehpercayaan alat kajian berdasarkan Alpha Cronbach didapati berada pada tahap tinggi iaitu >0.80. Aspek yang dikaji adalah pelaksanaan modul SUMUR dalam kalangan pelajar SMKA yang terdiri daripada empat program SUMUR utama dan lima belas aspek penilaiannya, iaitu program Mutadayyin (solat berkualiti, amalan zikir dan doa, dan tadarus al-Quran), program Berbudi Bahasa (laras bahasa, hormat-menghormati, tolong-menolong, dan mengenang dan menghargai budi), program Jati Diri (berkeyakinan, sabar dan tabah, tetap pendirian dan semangat juang) dan program Penampilan Diri (pemakaian, adab sopan, kepemimpinan, dan sikap positif dan proaktif). Analisis data secara statistik deskriptif dibuat menggunakan perisian SPSS version 20.0 bagi mendapatkan nilai kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Analisis statistik inferensi pula digunakan bagi mengenal pasti perbezaan skor min, hubungan dan sumbangan antara pemboleh ubah dengan menggunakan Ujian-T, Ujian Analisis Varian Sehala (Anova Sehala), Ujian Post-Hoc LSD dan Kolerasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan aspek-aspek modul SUMUR adalah tinggi dengan nilai min antara 3.71 hingga 4.64, khususnya bagi aspek pemakaian, adab sopan, solat berkualiti, hormat menghormati, dan mengenang dan menghargai budi. Dapatan juga menunjukkan adanya perbezaan yang signifikan pelaksanaan aspek-aspek modul SUMUR berdasarkan jantina, jawatan pelajar, tempat tinggal pelajar, aliran pendidikan pelajar, tempat tinggal keluarga, pendapatan bulanan keluarga dan tahap pendidikan keluarga, di mana p <0.05 dan hipotesis ditolak. Dapatan menunjukkan terdapat hubungan dan perkaitan yang signifikan yang kuat antara pemboleh ubah dengan nilai (r) antara 0.717 hingga 0.779. Selain itu, pengkaji juga menggunakan metode temu bual bagi melengkapkan lagi kajian yang dijalankan, di mana seramai 10 orang responden yang terdiri daripada Penasihat BADAR dan Penyelaras SUMUR. Secara keseluruhannya, tahap pelaksanaan aspek-aspek dalam modul SUMUR adalah kerap dan banyak mempengaruhi pembangunan sahsiah pelajar, terutamanya aspek pemakaian, adab sopan dan solat berkualiti dalam program Penampilan Diri dan Mutadayyin.
Item Type: | Thesis (PhD) |
---|---|
Additional Information: | Thesis (PhD) – Academy of Islamic Studies, University of Malaya, 2018. |
Uncontrolled Keywords: | Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) module; Student's personality; Personal appearance |
Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc L Education > LB Theory and practice of education > LB1603 Secondary Education. High schools |
Divisions: | Academy of Islamic Studies |
Depositing User: | Mr Mohd Safri Tahir |
Date Deposited: | 27 Mar 2019 07:26 |
Last Modified: | 25 Feb 2021 07:53 |
URI: | http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/9768 |
Actions (For repository staff only : Login required)
View Item |