Isu-isu wanita dalam fiqh jihad kumpulan ekstremisme agama: Kajian terhadap majalah Dabiq dan kaitannya di Malaysia / Muhd Imran Abd Razak

Muhd Imran , Abd Razak (2018) Isu-isu wanita dalam fiqh jihad kumpulan ekstremisme agama: Kajian terhadap majalah Dabiq dan kaitannya di Malaysia / Muhd Imran Abd Razak. PhD thesis, University of Malaya.

[img]
Preview
PDF (Thesis PhD)
Download (3132Kb) | Preview

    Abstract

    Gejala penglibatan wanita dalam aktiviti ekstremisme semakin membimbangkan. Penyertaan mereka bukan sahaja bersama kumpulan pejuang di kawasan konflik, malah juga luar kawasan konflik. Begitu juga dengan peranan mereka yang semakin berani kerana tidak lagi terhad sebagai pejuang di belakang tabir, bahkan turut bersama di barisan hadapan, umpamanya sebagai pengebom berani mati dalam serangan ‘serigala tunggal’. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah peningkatan tahanan wanita yang terlibat dengan ekstremisme dari tahun 2013-2018, dengan jumlah kumulatif seramai 43 orang. Sehubungan itu, kajian ini menfokuskan terhadap isu-isu fiqh jihad bagi golongan wanita dalam majalah Dabiq, keluaran kumpulan Islamic State (IS) dan kaitannya dengan penglibatan wanita Malaysia dalam gejala ekstremisme. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian kualitatif ini telah menggunakan kajian perpustakaan yang berasaskan metode dokumentasi dan kajian lapangan yang berasaskan metode temubual. Metode dokumentasi diaplikasi bagi mendapatkan literatur tentang ekstremisme agama dan penelitian terhadap 15 siri majalah Dabiq. Data ini dianalisis kandungannya bagi mengenalpasti isu fiqh jihad wanita aliran ekstremisme agama. Manakala metode temu bual berstruktur diaplikasikan bagi mendapat data tentang hukum berkaitan penglibatan wanita, dan juga realiti penglibatan wanita Malaysia dalam aktiviti ekstremisme. Informan merangkumi pakar deradikalisasi, mufti, pihak E8 PDRM dan saksi terlibat. Walau bagaimanapun, informan wanita yang terlibat dengan ekstremisme agama terdapat kekangan untuk ditemu bual. Data temu bual dianalisis kandungannya secara tematik dengan menggunakan perisian Atlas.ti. Hasil kajian mendapati fiqh jihad wanita dalam majalah Dabiq khususnya dan kumpulan IS umumnya mempunyai pandangan hukum yang keras berikutan pendekatan mereka yang cenderung kepada pemahaman secara literal dan selektif di samping tidak meraikan konteks semasa masyarakat Islam secara global. Senario ini dapat dilihat dalam isu wanita mengangkat senjata dan menjadi pengebom berani mati yang mempunyai unsur beban tugas berganda; manakala jihad nikah dan musafir tanpa mahram menunjukkan wujudnya elemen stereotaip wanita. Pengkaji mendapati bahawa isu terbabit mempunyai hubung kait dengan penglibatan wanita Malaysia dalam kumpulan ekstremisme agama, terutamanya melibatkan jihad nikah dan bermusafir tanpa mahram. Selaras dengan itu, pendekatan ‘counter-hukum’ Islam yang bersifat wasatiyyah diperlukan bagi mengimbangi antara tuntutan tekstual dan realiti kontekstual agar aktiviti dan fahaman ekstrem yang mengeksploitasi agama dapat ditangani. Pendekatan ini turut membantu dalam menjaga kelestarian hukum Islam, maslahah wanita serta kedamaian setempat dan global.

    Item Type: Thesis (PhD)
    Additional Information: Thesis (PhD) – Academy of Islamic Studies, University of Malaya, 2018.
    Uncontrolled Keywords: Extremism activity; Women's involvement; Fiqh jihad; Dabiq magazine; Moderation; de-radicalisation
    Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc
    H Social Sciences > H Social Sciences (General)
    Divisions: Academy of Islamic Studies
    Depositing User: Mr Mohd Safri Tahir
    Date Deposited: 07 May 2019 07:37
    Last Modified: 12 Apr 2021 07:19
    URI: http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/9953

    Actions (For repository staff only : Login required)

    View Item