Abd. Khahar, Saprani (2012) Pengajaran komponen teknologi maklumat dan komunikasi dalam kursus perguruan lepasan ijazah / Abd. Khahar Bin Saprani. PhD thesis, University of Malaya.
Abstract
Teknologi Pengajaran mementingkan proses mereka bentuk, membangun, melaksana, mengurus, dan menilai pengajaran supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang optimum. Walau bagaimanapun tidak semua aktiviti profesional ini dapat mencapai matlamat pengajaran yang telah dirancang. Justeru, satu kajian tentang penggunaan strategi pengajaran komponen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam program pendidikan guru perlu dilakukan untuk mendapat kefahaman tentang proses menyampaikan isi kandungan komponen TMK kepada guru pelatih. Kajian ini bertujuan untuk menyelidiki syarat-syarat pengajaran, penggunaan strategi dan hasil pengajaran dalam menyampaikan isi kandungan komponen TMK dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di institut perguruan. Pengkaji menggunakan sukatan pelajaran Pengurusan Sumber, KPLI sebagai dokumen rujukan untuk mengenal pasti syarat-syarat pengajaran, dan penggunaan strategi oleh pensyarah. Kajian ini juga meneliti hasil pengajaran yang berlaku ke atas diri guru pelatih setelah mengikuti pengajaran pensyarah yang menggunakan strategi tertentu. Kajian ini telah menggunakan Teori Reka Bentuk Pengajaran untuk mendasari kerangka konsep penyelidikan. Berdasarkan kerangka kajian itu, pengkaji menggunakan reka bentuk kajian kes secara kualitatif sebagai pendekatan kajian. Pemilihan lokasi kajian kes ini adalah berdasarkan ciri-ciri tipikal sebuah institut perguruan yang mengendalikan program KPLI untuk guru pelatih memperoleh pengetahuan dan kemahiran TMK. Pemerolehan data adalah menggunakan empat teknik iaitu; pemerhatian proses pengajaran yang dirakam menggunakan alat perakam audio visual, temu bual, analisis dokumen, dan catatan lapangan. Rakaman audio visual adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang syarat-syarat dan penggunaan strategi pengajaran yang dipilih oleh pensyarah dalam proses pengajaran. Temu bual dengan empat orang peserta telah dijalankan untuk memperoleh maklumat lanjut tentang penggunaan strategi, dan hasil pengajaran. Temu bual dengan guru pelatih turut dilakukan untuk mendapat maklumat tentang syarat-syarat pengajaran dan hasil pembelajaran mereka. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat lima syarat pengajaran yang mempengaruhi pemilihan dan penggunaan strategi pengajaran komponen TMK iaitu; sukatan pelajaran, kriteria guru pelatih, prestasi infrastruktur dan prasarana TMK, peranan dan sokongan pengurusan, dan halangan-halangan pengajaran komponen TMK. Syarat-syarat pengajaran tersebut telah mempengaruhi pensyarah untuk memilih dan menggunakan strategi pra pengajaran, strategi ekspositori atau pendedahan, strategi amali, strategi berorientasikan masalah, strategi dwibahasa, strategi pemantauan, dan strategi membina insan guru dalam pengajaran komponen TMK. Strategi lain yang lebih mencabar seperti strategi kompleks-dinamik harus digunakan oleh pensyarah untuk membantu guru pelatih membina kemahiran kognitif aras tinggi menuju pembelajaran arah kendiri. Dapatan kajian juga menunjukkan hasil pengajaran adalah berpusat kepada pemerolehan pengetahuan dan kefahaman verbal TMK, kemahiran mengaplikasikan iv perisian dan perkakasan pembelajaran, kemahiran menyelesaikan masalah, dan menghasilkan media kreatif mengikut bidang masing-masing. Guru pelatih juga telah menunjukkan sikap positif terhadap penggunaan TMK dalam pembelajaran mereka. Syarat pengajaran komponen TMK dirumuskan melalui Model PDPL (Persekitaran Dalaman dan Persekitaran Luaran) yang boleh membantu pensyarah dalam merancang dan mereka bentuk pengajaran. Strategi kompleks-dinamik yang boleh mencabar keupayaan pensyarah untuk melaksanakan pengajaran bagi pembelajaran arah kendiri harus digalakkan supaya guru-guru pelatih cenderung ke arah mengintegrasikan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penambah-baikkan kepada sukatan pelajaran Pengurusan Sumber adalah disarankan. Kajian ini mencadangkan supaya pengajaran komponen TMK dilengkapi dengan persekitaran pengajaran yang kaya teknologi, dengan prasarana dan perisian ke arah pengajaran dan pembelajaran berasaskan web serta mobile. Pengajaran komponen TMK harus ditransformasikan ke arah menggunakan strategi yang lebih mencabar supaya dapat melahirkan guru permulaan yang menguasai TPACK (Pengetahuan Teknologi Pedagogi Isi Kandungan).
Item Type: | Thesis (PhD) |
---|---|
Additional Information: | Thesis (Ph.D.) – Faculty of Education, University of Malaya, 2012. |
Uncontrolled Keywords: | Teknologi maklumat; Perguruan |
Subjects: | L Education > L Education (General) T Technology > T Technology (General) |
Divisions: | Faculty of Education |
Depositing User: | Mrs Nur Aqilah Paing |
Date Deposited: | 23 Jun 2015 15:45 |
Last Modified: | 23 Jun 2015 15:45 |
URI: | http://studentsrepo.um.edu.my/id/eprint/5615 |
Actions (For repository staff only : Login required)
View Item |